[VIDEO] Terima kasih sokong kami sejak album Canggih – KRU

KEMUNCULAN kumpulan Elite dan Adam AF2 berduet bersama KRU menjadi kejutan manis kepada lebih 9,000 penonton pada hari pertama konsert GenKRU yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

KRU yang dianggotai trio adik-beradik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim mendendangkan lagu Di Pintu Syurga bersama anggota asal Elite.

Sorakan seluruh stadium bergema apabila kumpulan Elite asal yang dianggotai oleh Azza Zawaru, Abby Abadi, Watie Sadali, Linda Rafar dan Sasha Saidin muncul di atas pentas.

Bersama Adam, KRU mendendangkan lagu duet mereka, Terhangat Di Pasaran.

“Selama 33 tahun berada dalam industri dan selepas genap tujuh tahun tidak muncul dengan lagu baru, tidak sangka kami akan kembali menemui kalian (peminat) dalam konsert di sini.

“Terima kasih kepada yang menyokong kami daripada album Canggih (1992) sehingga kini. Malam ini kita menjadi remaja selamanya,” tutur Edry.

Tidak tamat di situ, KRU menggamatkan suasana dengan siaran montaj ‘pengumuman khas’ Datuk AC Mizal yang mengumumkan Yusry sebagai penyanyi rap turut mencuit hati penonton.

Hal ini kerana, menurut Norman dan Edry, selama 33 tahun KRU berkarya dan menghasilkan lebih 150 buah lagu, Yusry tidak pernah sekali pun rap dalam lagu mereka.

Segmen tribute turut membuat penonton teruja apabila KRU mempersembahkan lagu Perpisahan Terasing ‘berduet’ suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Dalam konsert berdurasi dua jam setengah itu, KRU mendendangkan kira-kira 20 buah lagu antaranya, AwasThe Way We JamUntukmuFanatik dan lagu baru mereka berjudul Voodoo. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok