Klaustrofobia, Julia Farhana rela berpeluh panjat tangga

TIDAK sanggup berdepan rasa takut melampau akibat klaustrofobia, pelakon Julia Farhana mengakui lebih rela menggunakan tangga daripada bersesak dalam lif.

Malah, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 31, berkata, suami tercinta, Dr. Che Muhammad Hafiz sanggup berkorban memanjat tangga bersamanya untuk menghadiri rumah terbuka baru-baru ini.

“Kesian suami, isteri takut naik lif terpaksa naik tangga pergi rumah terbuka. Cuba teka berapa tingkat kami panjat?

Sampai sahaja dekat rumah terbuka, habis berpeluh. Saya minta suami naik lif sahaja sebab saya yang bermasalah, tapi dia tetap nak teman saya naik tangga,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Tambah pelakon drama Salon itu, dia tidak gentar menggunakan lif kosong, namun ketakutan timbul apabila ruangan sempit itu dipenuhi ramai orang.

“Saya tak takut naik lif, tapi kalau penuh macam tin sardin, memang tidak! Sempit sangat, saya takut.

Tolonglah, sudah tahu penuh kenapa nak masuk lagi? Lif pun dah berkelip-kelip tunjuk ‘not in service’ dan ‘full’.

“Tak mengapa, saya memilih tangga. Lebih selamat dan lega,” luahnya.

Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut memberi sokongan malah ada yang mengalami masalah serupa.

“Saya pun ada klaustrofobia, memang tak boleh berhimpit-himpit dalam lif. Rasa nak pengsan,” kata seorang pengguna TikTok.

Bagus suami Julia memahami dan teman naik tangga sekali. Bukan semua orang sanggup buat begitu,” tulis seorang lagi netizen.

“Lebih baik panjat tangga daripada tersekat dalam lif. Selamat dan sihat,” komen seorang pengguna lain.

Terdahulu, Julia pernah berkongsi detik cemas apabila hampir pitam ketika menaiki lif bersendirian kerana terlalu panik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok