Gabungan ikonik Cromok, Amuk gegarkan Nilai

Dua band gergasi metal, Cromok dan Amuk bakal menggegarkan N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan, hari ini menerusi Konsert Kasi Gegar! Cromok VS Amuk yang mungkin kolaborasi ‘live’ terakhir mereka.
Vokalis Cromok, Sam berkata persembahan mega itu tidak diulang di lokasi lain selepas ini memandangkan kedua-dua kumpulan mempunyai projek masing-masing yang perlu diberi tumpuan.
Kami jemput semua peminat genre thrash metal hadir beramai-ramai menonton konsert yang julung kali diadakan ini kerana Cromok tidak akan buat benda sama dalam setiap kemunculan.
“Persembahan ini takkan diulangi di lokasi lain. Kami bagi tumpuan penuh terhadap konsert ini selain belum terfikir mahu mengadakannya di tempat lain selepas ini.
“Ini bukan sahaja gabungan ikonik antara Cromok dan Amuk, bahkan bakal menjadi perhimpunan besar pendengar irama metal,” katanya pada sesi latihan akhir Konsert Kasi Gegar! Cromok VS Amuk, baru-baru ini.
Konsert anjuran YNS Event Management itu bakal menyaksikan dua band terbabit menyajikan seleksi hits mereka sepanjang lebih dua jam.
Penyanyi Amuk pula, Bandi mengharapkan kesihatannya berada pada tahap terbaik untuk berlawan vokal dengan Sam sekali gus meninggalkan memori manis kepada khalayak.
Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat, 61, berkata, demi kolaborasi ikonik itu dia sanggup menolak beberapa undangan menyanyi  bagi menjaga mutu suara
Tidak dinafikan rezeki saya agak murah selepas Aidilfitri. Boleh dikatakan setiap hari ada undangan nyanyian sehingga mengakibatkan saya hilang suara.
“Bagaimanapun menjelang konsert, saya mula memperlahankan rentak. Bukan tiada tawaran tapi saya menolak kerana ingin fokus pada konsert yang julung kali diadakan.
“Saya dan kumpulan Cromok mahu berikan yang terbaik dan kepuasan buat peminat yang menyokong kami dengan membeli tiket,” ujarnya.
Kongsi Bandi lagi, latihan untuk konsert ini dibuat sejak sebelum Ramadan dan bersambung semula selepas 1Syawal sehinggalah menjelang hari konsert.
“Boleh dikatakan latihan sudah hampir sempurna. Saya dan Sam bersama anggota lain akan menampilkan aksi yang akan dikenang semua.
“Akan ada lagu yang dimainkan bersama  kedua-dua kumpulan selain disampaikan kami berdua yang juga memang tak pernah berlaku sebelum ini.
Secara peribadi saya sendiri dah lama tunggu peluang ini. Dulu Amuk pernah rakamkan lagu Cromok. Akhirnya, kami dan Cromok dapat berkongsi satu pentas. Harapan kami semua penggemar dapat sama-sama menjadi saksi malam bersejarah ini,” katanya.
Sementara itu, pemain gitar Cromok, Karl berkata, sepanjang persembahan nanti sebanyak 15 hingga 18 lagu bakal diperdengarkan.
“Idea kali ini kami akan lihat bagaimana lagu yang Cromok mainkan, tetapi dengan nyanyian daripada vokalis Amuk, Bandi.
Atau Amuk mainkan muzik, tetapi vokalis Cromok, Sam nyanyikan lagu mereka. Ikut senarai ada lima lagu yang akan dimainkan secara bersama,” kongsinya.
Tiket menyaksikan konsert ini boleh ditempah menerusi laman n9arena.ubertickets.asia. – KOSMO! ONLINE
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok