180
Menghidap sinus sejak November tahun lalu, penyanyi Ezad Lazim mengakui belum bersedia menjalani pembedahan kerana bimbang akan menjejaskan peti suaranya.
Dalam masa sama, Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 45, juga masih berkira-kira untuk melakukan prosedur rawatan sebegitu akan mengganggu jadual kariernya.
Ada kerisauan (suara terjejas) juga sebenarnya. Bila saya tanya pakar, ada yang cakap tiada kesan tetapi bila kita berbual dengan ramai orang, ada yang cakap lepas pembedahan tak boleh nyanyi macam dahulu.
“Benda itu buat saya macam berbelah bahagi nak bedah. Suara sangat penting untuk saya.
“Lagi pun, kalau buat pembedahan kena rehat enam bulan. Banyak benda saya tak boleh buat nanti,” katanya kelada semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rusa RitMa Raya, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Jesnita itu hanya mengambil ubat-ubatan selain menunggu masa tepat untuk menjalani pembedahan seperti saranan doktor.
Mungkin dahulu cara saya ambil ubat sekejap-sekejap sahaja tetapi kali ni konsisten dan sampai sekarang masih lagi makan ubat.
“Pakar juga ada kata, buat masa ini tak apa, sambung makan ubat dulu. Tapi kalau rasa dah bersedia dan perlu, bila-bila masa boleh buat,” ujarnya.
Tahun lalu, Ezad memaklumkan dia mengalami batuk berkahak yang teruk berpunca daripada sinus.
Selain sinus,vokalis Exists itu pernah ditahan di hospital selepas diserang gastrik kronik atau gerd. – HIBGLAM