‘Mentang-mentang sudah tua, tak dapat watak hebat, pegang senjata’

IBARAT diberi penghormatan, aktor senior Zamarul Hisham tidak pernah menyangka akan berkongsi skrin layar lebar bersama pelakon hebat lain dalam filem pecah panggung, Blood Brothers: Bara Naga yang ditayangkan sejak 10 April lalu.

Bagi aktor berusia 54 tahun itu, meski bukan sebagai bintang utama, memegang watak sebagai pegawai polis, DSP Adli cukup memberinya kepuasan berganda.

“Saya perlu jadi seorang pegawai polis yang suka menyindir tetapi masih perlu kekal nampak berintegriti.

Bila bekerja dengan dua pengarah yang ‘perfectionist’ agak gementar juga tetapi mereka sangat bagus, bimbing dari ‘A to Z’.

“Walaupun bukan pelakon utama dan banyak dialog menyindir, mereka nak saya jadikan karakter polis tak nampak lemah, masih berintegriti dan dihormati,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Zamarul juga mengakui mempunyai kerisauan sekiranya berdepan kesukaran untuk keluar daripada zon dan mood pelakon drama.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana pihak produksi banyak membantunya membentuk karakter tersendiri tetapi masih di landasan yang betul.

“Sebenarnya banyak kali juga saya tolak tawaran daripada Skop Productions sebab kesibukan dengan drama. Tapi kali ini saya memang tak boleh tolak, takkan umur sudah 57 baru nak kembali ke dunia filem.

Walaupun saya sudah level pelakon senior, saya terbuka terima banyak input dan boleh keluar daripada ‘dunia’ drama.

“Saya pelakon drama, jadi memang perlu buat sesuatu agar nampak satu level dengan pelakon lain yang memang muka-muka gred A filem tanah air,” jelasnya.

Dalam masa sama, Zamarul mengakui terbit rasa cemburu terhadap pelakon lain yang masih diberi peluang menjayakan watak hebat dalam sesebuah filem.

“Adakalanya, sebagai pelakon, memang terbit pemikiran ‘mentang-mentang aku sudah tua, tak dapatlah merasa lagi berlakon watak hebat, pegang senjata’. Bukan kecil hati tetapi lebih kepada teringin sahaja.

“Ada juga teringin nak berlakon pegang senjata tembak-menembak, nasib baik ada juga babak begitu untuk saya, termasuk aksi ‘terbang’ walau hanya beberapa saat,” jelasnya.

Bercerita tentang babak ‘terbang’ tersebut, awalnya Zamarul dimaklumkan adegan itu akan dilakukan oleh ‘stuntman’ atau pelakon lagak ngeri.

“Awalnya bukan saya yang lakukan tapi ‘stuntman’ tapi tiba-tiba Syafiq nak juga saya buat.

Saya buat dan memang rasa sangat gementar risau tak boleh beri apa yang pengarah nak. Jantung ketika itu rasa laju betul.

“Kemudian apabila selesai, Syafiq kata semuanya okey, saya rasa bangga. Maksudnya, itu satu kepuasan dan penghormatan yang dia beri kepada saya untuk lakukan aksi tersebut,” tambahnya.

Pecah tradisi

Bercerita lanjut, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 itu sempat meminta karyawan filem tempatan memberi lebih banyak peluang kepada pelakon senior menampakkan wajah ke layar perak.

KELUAR dari zon drama, Zamarul Hisham turut menjual diri sebagai pegawai polis dalam Blood Brothers: Bara Naga. – AMIR KHALID

Ujarnya, naskhah yang mengangkat pelakon senior sebagai watak utama sangat kurang jika dibandingkan di Hollywood.

Tambah Zamarul, kurang diberikan peluang dan tidak berani menghasilkan naskhah yang mengetengahkan barisan pelakon senior antara sebab situasi sebegitu tersebut wujud di Malaysia.

“Bagi mana-mana pelakon, walaupun sudah berumur dan tawaran masih ada, mereka tetap akan buat sebab minat.

Kita mahu pelakon di Malaysia diberi peluang seperti di Hollywood walaupun sudah berusia. Mereka ada filem yang angkat pelakon senior tetapi di Malaysia sukar nak dapat dan tiada yang berani nak buat.

“Realitinya, banyak pelakon senior kita masih hebat cuma ada yang patah semangat sebab rasa diri tak diperlukan.

“Kalau diberi peluang dan tuntut mereka buat badan sado, mereka boleh lakukan. Kita nak pecahkan tradisi dan merealisasikannya, insya-Allah,” tutupnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok