7 tahun perang dingin, Shiro buat ‘comeback’

SELEPAS lebih tujuh tahun tidak bergandingan gara-gara bermasam muka, akhirnya kumpulan lawak Shiro yang dianggotai Shahrol dan Ajak bakal membuat kemunculan semula di Temasya Komedi Rakyat yang bakal berlangsung Mei ini.

Menurut Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 41, yang juga merupakan penganjur acara, idea untuk menganjurkan Temasya Komedi Rakyat hadir selepas dia bertemu semula dengan Ajak beberapa bulan lalu.

“Apabila bertemu semula setelah sekian lama, macam-macam yang kami bualkan termasuklah hal-hal berkaitan industri lawak di Malaysia.

Sejujurnya saya sangat rindukan era kegemilangan lawak yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia beberapa tahun lalu. Kami berdua pernah berada di era itu dan pernah diangkat sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2018.

“Tetapi kini saya lihat program lawak semakin mengecil. Saluran Astro Warna juga sudah tidak wujud lagi. Platform untuk pelawak-pelawak menonjolkan bakat mereka semakin kurang. Situasi ini berbeza dengan negara jiran kita Indonesia yang sangat aktif menganjurkan program komedi,” katanya pada sidang media Temasya Komedi Rakyat, semalam.

Sementara itu bagi Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 39, peluang untuk kembali beraksi bersama regunya itu sudah lama dirindui dan kini tibalah masanya untuk para peminat Shiro kembali menyaksikan aksi mereka secara langsung.

“Umum tahu kami pernah ada masalah sebelum ini. Itu lumrah untuk setiap yang bergelar manusia. Tetapi Alhamdulillah sejak kami bermaaf-maafan, setiap kali saya pulang ke kampung di Johor, atau Shahrol datang ke Kuala Lumpur pasti kami akan berjumpa dan luangkan masa berjam-jam.

Biarpun sudah tujuh tahun tidak bersama, tetapi keserasian kami itu tidak pernah pudar. Kami berdua membesar bersama sejak dari belum akil baligh lagi. Kalau kami pandang mata, kami sudah dapat baca fikiran masing-masing.

“Bila kami bersiaran langsung dalam TikTok, ramai peminat yang komen mereka rindu nak menonton persembahan lawak  kami. Daripada situ kami yakin bahawa masih ada peminat yang nak menonton persembahan kami,” ujarnya.

Temasya Komedi Rakyat bukan sahaja bakal menampilkan kumpulan Shiro, tetapi 11 lagi pelawak lain termasuklah Atu Zero, Fikry Ibrahim, Zulin Aziz, Man, Ali Puteh, Danial Zaini serta pelakon senior, Nasir Bilal Khan.

Temasya Komedi Rakyat bakal berlangsung bermula 3 Mei depan di tiga lokasi iaitu di Kuantan, Pahang, Tanjong Malim, Perak dan Parit Raja, Johor. Temasya itu juga berkemungkinan di bawa ke Singapura serta Sabah dan Sarawak. Tiket boleh dibeli di laman sesawang ubertickets. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok