Fokus saya hanya anak – Siti Nordiana nafi kahwin lagi

SELEBRITI popular, Siti Nordiana menafikan dakwaan sudah kembali bergelar isteri seperti yang tular baru-baru ini.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana menjelaskan khabar angin tersebut tidak benar malah dirinya juga terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Sejujurnya saya terkejut dan pernah terbaca artikel tentang perkara itu. Saya pun tak tahu bagaimana cerita tersebut tercetus. Berita itu tidak sahih.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada mana-mana pihak kerana terus mendoakan yang baik-baik untuk jodoh saya. Kita serahkan saja (soal jodoh) kepada Allah SWT.

“Hati saya tidak pernah tertutup untuk kembali mendirikan rumah tangga, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis Sidang Media & Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025 di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Terus Mencintai itu berpendapat, khabar angin tersebut tercetus disebabkan sudah hampir 16 tahun bergelar ibu tunggal.

“Saya pun tak pasti bagaimana spekulasi tersebut boleh timbul. Mungkin sebab saya sudah lama hidup solo.

Begitulah, kalau sudah lama solo, pasti akan sentiasa menjadi sasaran untuk digosipkan.

“Misalnya sebelum ini saya ada juga dikaitkan dengan beberapa selebriti lelaki. Kemudian ada juga rakan yang bergurau dan tanya ‘bila nak maklumkan sudah kahwin’?” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia memberitahu tidak terdetik untuk berkecil hati apabila dakwaan sebegitu muncul sebaliknya sudah lali terkait dengan khabar angin tersebut.

Dia juga mengakui kerap menerima pertanyaan mengenai perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.

“Soalan sedemikian sudah lama saya terima, ramai yang tanya mengenai perkahwinan. Saya tidaklah rasa sebagai satu soalan yang sensitif.

Cuma terlalu banyak dakwaan mengatakan saya sudah pun berkahwin. Apa yang boleh saya katakan, setakat ini ialah semua itu tidak benar.

“Fokus sekarang hanya pada anak dan pada usia 40-an ini, saya sedang usaha untuk perbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Insya-Allah saya bahagia saja menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sebab saya sudah terbiasa dengan rutin hidup begini,” tuturnya.

Tambah Nana, anak lelakinya iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie, 17, juga tidak pernah bertanya mengenai kehidupan peribadinya.

“Anak saya jenis yang tidak kisah dan dia tak pernah pula tanya mengenai cerita ibu dia.

“Rayyan pun sudah remaja dan saya percaya dia pasti terbuka sekiranya saya mahu bercakap tentang perkara ini kelak,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Nana pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, namun mereka bercerai pada 2009. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok