Alhamdulillah, saya bangga jadi anak Malaysia – Hael Husaini

 “Alhamdulillah, saya bangga jadi anak Malaysia.”

Ini luahan kesyukuran penyanyi dan komposer Hael Husaini yang terharu apabila lagu ciptaannya, Anta Permana menjadi pilihan kegemaran Raja Charles III.

Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 37, tidak menyangka karya bersama Ezra Kong itu disukai Raja Britain, sekali gus berada dalam ‘playlist’ peribadi baginda di Apple Music bersama dendangan ramai penghibur antarabangsa lain.

“Tak pernah terbayang bahawa satu daripada hasil ciptaan saya bersama Ezra Kong yang dinyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Anta Permana terpilih dalam senarai lagu kegemaran baginda,” katanya dalam hantaran Instagram.

Perkongsian Hael meraih komen ramai rakan seperjuangan lain termasuk penghibur Indonesia, Rossa selain Aisha Retno, Indah Ruhaila, Syamel, Marsha Milan dan Khai Bahar.

“Saya bangga dengan anda bertiga. Tahniah Hael, Ezra dan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza,” tulis Rossa.

Sebelum ini, Apple Music melancarkan program The King’s Music Room, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel sebagai meraikan kepelbagaian muzik dunia.

Nama Siti Nurhaliza turut disenaraikan bersama penyanyi antarabangsa seperti Bob Marley, Diana Ross, Beyoncé serta Michael Bublé.

Anta Permana yang dilancarkan pada tahun 2018 membuat kemunculan pada minit ke-43 dalam 17 senarai lagu yang dipilih sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel

Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham, memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi Raja Charles III. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok