[VIDEO] ‘Keluarga Itu tak boleh dinilai daripada klip pendek saja’

Pelakon Datuk Rosyam Nor meminta orang ramai tidak terus menghentam wataknya sebagai Iman dalam drama sensasi, Keluarga Itu kerana apa dipaparkan hanya lakonan semata-mata.

Namun, Rosyam, 58, menegaskan karakter tersebut mampu memberi pengajaran terhadap para penonton kerana mengangkat kisah realiti kehidupan masyarakat.

“Saya seorang pelakon dan itu memang tanggungjawab untuk bawa watak sebegitu kerana drama adalah satu platform yang boleh mendidik masyarakat.

“Tetapi mungkin ada di antara perbuatan-perbuatan saya itu membuatkan orang jijik, geli dan meluat. Kalau ikutkan apa sangat reaksi yang saya buat pun.

“Itu lakonan dan alhamdulillah bagi saya jika orang benci watak itu saya bersyukur kerana berjaya mempotretkan watak Iman seperti dikehendaki Erma Fatima, pengarah dan juga skrip itu,” katanya pada majlis tayangan program Raya Astro di sini, semalam.

Dia bersetuju menerima watak itu kerana terpanggil untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa wujud golongan teraniaya di luar sana yang tidak diberikan perhatian.

Rosyam juga menegaskan karakter Iman tidak berkaitan dengan mana-mana pihak termasuk golongan agamawan seperti didakwa segelintir individu sebelum ini.

“Malah itu berlaku kepada semua orang kalau nak menggatal atau membuat panggilan pada wanita wajah-wajah demikian yang akan muncul.

“Perkara ini memang berlaku dalam kalangan masyarakat dan perlu dikupas supaya menjadi pengajaran untuk generasi akan datang.

“Kalau kita nak sorok susahlah sebab sebenarnya medium hiburan itu juga boleh jadi platform untuk dakwah. Jadi jika kita melihat kepada kebaikan akan menjadi baik, begitu juga sebaliknya,” ujarnya.

Tambah bintang filem KL Gangster 2 itu, penonton yang hanya melihat daripada sedutan drama tular tidak patut membuat penilaian tanpa menonton episod penuh di platform yang sepatutnya.

“Drama itu tidak boleh dinilai daripada sedutan atau klip pendek dalam media sosial sahaja..

Keluarga Itu baru sahaja ditayangkan enam episod tetapi ramai sudah cakap benda itu menjijikkan dan melemparkan tafsiran yang pelbagai.

“Bagi saya okey sahaja bila ada tokoh agama dan orang ramai sudah komen, maknanya orang menonton. Alhamdulillah saya diberitahu episod pertamanya rating tinggi iaitu sebanyak tiga juta malah dalam media sosial lebih 180 juta tontonan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia bersyukur dapat membawakan watak Iman dalam drama Keluarga Itu seperti dikehendaki pengarah dan penulis skrip drama rantaian di TV3.

Sejak episod awal ditayangkan drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. itu berjaya menarik perhatian ramai apabila mengetengahkan isu sensasi dalam kehidupan keluarga.

Selain Rosyam drama di Slot Lestary TV3 yang mula disiarkan sejak 28 Februari lalu itu menampilkan ramai pelakon terkenal tanah air antaranya Datin Seri Umie Aida, Izara Aishah, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Fattah Amin, Muaz Zabir, Melissa Campbell dan ramai lagi. – HIBGLAM

 

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok