MESKI hampir dekad mencipta nama dalam industri seni, kumpulan nasyid popular Rabbani masih berdepan masalah ditipu penganjur persembahan, terutama membabitkan urusan bayaran.
Jika dikumpul hutang bayaran persembahan selama bertahun-tahun angkanya mencecah lebih RM100,000.
Menurut Azadan, kebanyakan penipu adalah individu yang dikenali dan pernah berurusan dengan Rabbani.
“Tahun depan genap usia Rabbani 30 tahun tetapi masih lagi kena tipu dengan penganjur. Lebih menyedihkan yang menipu itu biasanya kami kenal.
“Atas dasar percaya, kami bersetuju untuk mengadakan persembahan tanpa sebarang deposit. Tetapi akhirnya tidak bayar, sudahnya kami pula yang terpaksa mengemis minta bayaran.
“Kalau dikumpulkan semua hutang persembahan selama bertahun-tahun lebih RM100,000 juga. Apapun kami reda dan berlapang dada,” tutur Azadan mewakili Rabbani.
Tambah Azadan, pihaknya tidak pernah mengenakan bayaran terlalu tinggi sebaliknya munasabah untuk Rabbani yang dilengkapi lapan anggota.
“Kami sedar kami kumpulan nasyid dan sudah berusia. Jika terlalu ‘demand’ orang tidak suka. Harga bayaran yang kami minta munasabah untuk keperluan Rabbani.
“Setakat ini kami tidak pernah bermewah-mewah dengan bayaran persembahan. Jika penganjur tidak mampu bayar persembahan artis janganlah aniaya kami. Ini kerana setiap artis menghadiri persembahan dengan penuh harapan,” ujar Azadan.

SELAIN bakal tampil dengan single baharu tahun ini Rabbani turut merancang mengadakan konsert berskala besar tahun depan.
Tradisi Ramadan
Menyentuh perkembangan terkini, bermula 4 sehingga 27 Ramadan Rabbani mengadakan persembahan di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya.
Sudah menjadi kelaziman sejak 22 tahun lalu Rabbani menyanyi di Hotel Singgahsana Petaling Jaya.
“Jika tiada persembahan sepanjang Ramadan kami akan rasa kekok. Sejak 1991 ketika bersama kumpulan NadaMurni lagi, waktu masih bersekolah kami telah mengadakan persembahan pada bulan Ramadan.
“Selepas Hotel Singgahsana ditutup, tahun lepas kami melakukan persembahan pentas di beberapa tempat tanpa sebarang kontrak. Tetapi tahun ini sudah rezeki, kami kembali dengan persembahan Ramadan di Ruang Rama Event Space,” jelas Azadan.
Menariknya, selain menikmati persembahan dan juadah yang disediakan, pelanggan juga berpeluang untuk memenangi pakej menunaikan umrah dan percutian Star Cruise bersama Rabbani menerusi cabutan bertuah.
Selain itu, Rabbani turut merancang menghasilkan single terbaharu pada tahun ini selain konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-30 pada tahun depan.
“Sebelum ini kami telah mengeluarkan single Pejalan Malam bersama kumpulan Khalifah. Insya-Allah tahun ini bakal ada single terbaharu daripada kami.
“Berkenaan konsert, jika tidak tahun ini, kami akan adakah pada tahun depan sempena tiga dekad Rabbani. Cuma untuk menganjurkan konsert berskala besar bukan mudah, memerlukan perancangan yang rapi.
“Tetapi jika kami berazam untuk melaksanakannya (konsert), kami akan buat sehabis baik bukan sahaja untuk profil Rabbani tetapi sebagai kenangan buat peminat,” luah Azadan. – HIBGLAM