‘Iman Troye selamatkan suara abah dalam Raya Ya Ya’

ANAK kepada usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri iaitu Qadejah Aliff Syukri menyifatkan tindakan bapanya melancarkan lagu raya serentak dengannya pada tahun ini sebagai satu persaingan sihat.

Qadejah yang baru melancarkan lagu berjudul Raya Gen Z bersama tiga penyanyi lain iaitu Ara Aziz, Alyssa Dezek dan Cik bagaimanapun tetap rasa tercabar selain menyifatkan karya dendangannya lebih baik berbanding bapanya.

“Baru-baru ini ketika kami sekeluarga makan malam, saya dan abah saling berpandangan dan bertanya mengenai lagu raya masing-masing.

Kemudian, kami dengar lagu sama-sama. Rasa-rasanya lagu saya lebih sedap sebab saya tak faham lagu abah.

“Saya rasa tercabar, tetapi persaingan adalah benda yang baik sebab akan buatkan kita sentiasa memperbaiki diri,” katanya kepada HibGlam pada sidang media pelancaran lagu Raya Gen Z di sini, baru-baru ini.

Keadaan bertambah ‘panas’ apabila Raya Gen Z dan lagu raya nyanyian Aliff duet bersama Iman Troye iaitu Raya Ya Ya dilancarkan pada hari sama.

“Abah ada keluar lagu Raya Ya Ya dan lagunya siap pada hari yang sama dengan lagu raya saya, Raya Gen Z.

Abah cakap, lagu saya sedap tapi tetap cakap lagu dia lebih baik walaupun hakikatnya tidak pun,” katanya lagi.

Sedar dengan kecaman negatif netizen, Qadejah menyifatkan perkara tersebut mampu menjadikan seseorang individu lebih baik.

“Kecaman adalah benda yang baik sebenarnya.

Semua itu akan menjadikan kita orang yang lebih baik. Setiap kritikan yang diberikan, akan saya gunakan untuk perbaiki kelemahan diri.

“Iman membantu terlalu banyak untuk lagu raya mereka.

Tanpa Iman, lagu itu biasa sahaja. Kehadiran Iman dapat selamatkan suara abah,” katanya lagi.

Sehingga kini, video muzik lagu Raya Gen Z meraih lebih 65,000 tontonan sejak dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Manakala, video muzik rasmi Raya Ya Ya pula mencatat 470,000 tontonan dalam YouTube. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok