PERNAH mengulas isu berkaitan industri muzik tanah air sarat toksik, penyanyi Ariff Bahran terkejut apabila didakwa mahu menoktahkan karier nyanyian berikutan kecewa berdepan sikap berat sebelah sesetengah pihak.
Ariff atau nama lengkapnya, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu, sebaliknya masih mahu berkongsi karya dengan khalayak.
Sekejap, bila masa pula saya cakap saya nak berhenti menyanyi?,” tulisnya dalam perkongsian dalam aplikasi Treads.
Hantaran dibuat penyanyi lagu Kata Akhirmu itu kemudian dimuat naik isterinya, Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 30, yang memberikan maklum balas serupa.
Amirah yang turut bertindak sebagai penasihat Ariff Bahran berkata, dia selalu mengingatkan suaminya agar meneliti susunan ayat sebelum berkongsi sebarang hantaran dalam laman sosial.
“Saya penasihat media buat suami dan sentiasa membimbingnya tentang perkara yang hendak diperkatakan terutama sekali apabila berkaitan komen dalam media sosial.
Dia juga ada bertanyakan kepada saya sebelum menyiarkan apa-apa (perkongsian) secara terbuka kepada khalayak ramai.
“Jadi, saya pasti dia tidak pernah menyebut mahu berhenti menyanyi. Menyanyi adalah minatnya dan dia tdak akan berhenti,” ujarnya.
Menurut wanita itu, kerjaya sebagai penggiat seni suara di negara ini sarat cabaran termasuk perlu berdepan sikap pilih kasih.
Menjadi penyanyi di Malaysia bukanlah mudah kerana penuh dengan cabaran dan berat sebelah. Perkara itulah yang kami pilih untuk tidak terlibat,” katanya.
Ariff Bahran yang mesra disapa Bahran memulakan langkah di arena nyanyian pada usia 16 tahun sebelum menyertai program realiti Big Stage 2018.
Dua tahun lalu penyanyi yang juga komposer itubergandingan dengan sepupunya, Haqiem Rusli mara ke peringkat akhir Famili Duo musim ketiga. – HIBGLAM