SIAPA tidak kenal dengan aktor papan atas Shukri Yahaya yang cukup sinonim dengan watak lelaki ‘red flag’ seperti kaki curang, panas baran dan penuh toksik.
Kali ini, fenomena sama berulang, Shukri kembali menghidupkan karakter lelaki tidak setia dalam drama Curang Tanpa Niat, bergandingan dengan Mira Filzah dan Sharifah Sakinah.
Wataknya sebagai suami curang bukan sahaja mencetuskan kontroversi, malah meletakkan karakter yang digalasnya dalam senarai lelaki paling dibenci rakyat Malaysia.
Menyedari gelombang kemarahan penonton, pemilik nama penuh Mohd. Shukri Yahaya itu mengakui tidak terkecuali membenci watak digalas.
Sebagai pelakon profesional, lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun tetap menggalas tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan penulis skrip, pengarah dan stesen televisyen terhadapnya dengan sebaik-baik persembahan.
“Saya tahu rakyat Malaysia membenci Eshaal. Jujurnya, saya sendiri yang bawa watak tu pun benci!. Pernah saya dengar pengarah berbincang dengan penulis skrip, kenapa dia kena buat macam ni? Kenapa kena cakap begitu.
“Penulis kata, waktu dia tulis skrip, dia sudah bayangkan saya sebagai watak utama. Mungkin dia nak mencabar kemampuan lakonan saya.
“Katanya, kalau sebelum ini susah, kali ini lagi susah. Dia, pengarah dan penulis skrip yang sama dalam drama Layang-Layang Perkahwinan, jadi mereka tahu tahap kesukaran naskhah Curang Tanpa Niat lebih tinggi,” katanya kepada HibGlam.
Sudah berkali-kali menjayakan watak sedemikian, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Telenovela itu bagaimanapun mengakui karakter dibawanya kali ini paling sukar sepanjang karier.
“Terus terang saya cakap, ini cerita paling susah saya pernah buat. Watak ini perlukan kawalan bahasa tubuh yang sangat halus.
“Itu belum masuk bab pembangunan karakter, itu semua kena fikir supaya penyampaian lakonan lebih berkesan.
“Setiap pergerakan, ekspresi, nada suara, intonasi semua kena ‘on point’.
“Saya kena fikir bila nak ‘tone down’, bila nak luahkan segala emosi, semuanya kena teliti,” jelasnya.
Selepas puas melakonkan peranan lelaki toksik, bapa kepada dua cahaya mata itu lega dan bakal berehat seketika daripada membawakan watak serupa.
“Saya sudah bercakap dengan pengarah iaitu Eyra Rahman, stesen dan penulis skrip, kalau mereka mahu panggil saya buat cerita macam ini lagi, saya tak nak buat dah!.
“Saya cakap kalau boleh, biar mereka cuba pelakon lain pula, kita tengok orang lain pula bawa watak sebegitu. Saya sekarang mahu santai dan lebih relaks sahaja,” dedahnya.
Dalam perkembangan lain, Shukri kini rancak melaksanakan tugas sebagai duta jenama baju Melayu terkenal, Bulan Bintang.

SHUKRI sudah lima tahun bekerjasama dan menjadi duta Bulan Bintang
Sudah lima tahun bekerjasama, dia mengakui tetap setia meskipun pernah cuba ‘dicaras’ jenama lain.
“Saya sudah kenal dan sebati dengan kualiti baju Melayu jenama berkenaan. Sebab tu saya masih di sini, kesetiaan itu penting,” tutupnya.
Dengan bajet kempen raya mencecah RM15 juta, Bulan Bintang tampil gah dengan barisan duta ternama seperti Syafiq Kyle, Datuk Rosyam Nor, Hannah Delisha, Datuk Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Johan Ghazali.
Turut menambah seri adalah barisan duta istimewa lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Mimi Lana, Angeline Tan, Sabri Yunus, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Ridza serta Ain Edruce sekeluarga.
Tidak hanya terhenti di situ, Bulan Bintang turut mencipta kolaborasi bersama jenama gergasi seperti AirAsia, GB Gold, Hausboom, Tabung Haji, Kahf, Tealive, Tudung Ruffle, Russell Taylors, Mutu Case dan Mokkys Pizza.