‘Ramai nak tiru gaya rambut Zahnita’

GARA-GARA tular video ‘make over’ gaya rambut bekas peragawati Zahnita, kini ramai menginginkan gaya rambut sepertinya.

Perkara itu diakui penata gaya rambut Zahnita yang dikenali sebagai Chez Hamdan.

Menurut Chez, sejak videonya mendandan rambut Zahnita tular dalam media sosial, dia tidak putus-putus menerima mesej daripada pelanggan yang mahukan potongan rambut yang sama.

“Tak sangka pula video itu akan menjadi viral. Hari ini sahaja (semalam) semua datang salon nak buat rambut ‘Zahnita’. Bertalu-talu mesej yang masuk sampai tak menang tangan. Semua tanya tentang gaya rambut Zahnita,” katanya kepada HibGlam.

Bercerita lanjut tentang momen ‘make over’ yang mendapat pujian ramai itu, kata Chez dia mengenali Zahnita lebih 15 tahun lalu namun sudah sedekad tidak bertemu.

“Saya kenal Zahnita sewaktu dia masih aktif sebagai model. Saya pernah mendandan rambutnya untuk penggambaran majalah. Selepas itu lama kami tidak bertemu. Sesekali bertanya khabar dalam media sosial.

“Kebetulan dia datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini dan hubungi saya untuk potong rambut. Saya ‘trim’ rambutnya agar kelihatan lebih segar dan berseri. Kira macam ‘new look’ untuk 2025.

“Insya-Allah selepas ini kita akan buat rawatan rambut pula untuk Zahnita supaya rambutnya sentiasa kelihatan sihat dan lebih terurus. Kali ini saya hanya sempat ‘trim’ sahaja kerana Zahnita kesuntukan masa,” kongsinya.

Mengakui pesona seorang peragawati masih kuat pada Zahnita, kata Chez dia ada memujuk pelakon filem Kuliah Cinta itu untuk kembali aktif dan selalu ke Kuala Lumpur, namun katanya Zahnita lebih selesa menjalani kehidupannya di Kuantan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok