Nama pelakon Na In-woo meledak dalam media sosial apabila dilaporkan terlepas daripada menjalani latihan ketenteraan yang sepatutnya dilaksanakan selama dua tahun.
Perkara itu disahkan agensi pengurusannya iaitu Hanada Company selepas menerima keputusan berkenaan daripada Jabatan Tenaga Kerja Ketenteraan.
“Memang betul In-woo dikecualikan daripada menyertai latihan ketenteraan berdasarkan maklumat yang diterima,” kata wakil agensi.
Wujud desas-desus mendakwa pengecualian tersebut dberikan kerana masalah kesihatan yang dialami bintang drama Marry My Husband itu.
Hanada bagaimanapun menegaskan mereka tidak mengetahui punca pengecualian tersebut memandangkan maklumat itu dianggap sulit.
“Kami tak pasti mengenai perkara itu memandangkan ini adalah keputusan jabatan ketenteraan. Jadi, kami tak boleh komen selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini, aktor berusia 30 tahun itu mendedahkan sudah mendaftar menyertai latihan berkenaan sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang panggilan.