Minta ‘sponsor’, Haneesya Hanee bengang terima layanan biadab

Diberi layanan buruk, pelakon Haneesya Hanee bengang apabila sebuah syarikat jenama pakaian bersikap biadab ketika dia memohon tajaan bagi persediaan drama terbaharunya.

Haneesya atau nama lengkapnya Sharifah Haneesya Hanee Syed Sahlan, 24, mengakui tidak kisah andai permintaan ditolak namun terkilan berdepan manusia bersikap kurang ajar.

“Saya tidak pernah melihat orang yang kerja dalam bidang khidmat pelanggan (customer service) yang kurang ajar begini. Tahap macam minta penampar.

Kalau tak mahu beri tajaan, saya tidak kisah. Saya okey sahaja tetapi tak perlu kurang ajar dan boleh cakap baik-baik.

“Tak semua jenama mampu nak beri tajaan sebab saya sendiri ada perniagaan, saya faham,” katanya dalam Instagram.

TANGKAP layar perbualan antara ibu Haneesya dan individu dalam khidmat pelanggan sebuah jenama pakaian.

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu turut berkongsi tangkap layar perbualan ibunya, Nor Hasnida yang bertindak sebagai pengurus bersama individu berkenaan.

Menerusi perbualan antara kedua-dua pihak, ibunya mengajukan perkara berkaitan kerjasama menerusi penajaan persalinan bagi drama terbarunya

Namun, wakil khidmat pelanggan jenama pakaian berkenaan menolak permintaan berkenaan dengan alasan tidak memerlukan pelakon terbabit sebagai medium pemasaran produk selain memaklumkan tidak mengenali Haneesya.

Lebih mengecewakan apabila petugas terbabit turut memintanya menutup aurat dahulu, selain menegaskan syarikat tidak dapat sebarang keuntungan jika memberikan tajaan.

Kata Haneesya, dia akur sekiranya orang tidak mengenali dirinya tetapi itu bukan bermakna mereka boleh berkasar terhadap ibunya.

Pada masa sama dia enggan mendedahkan jenama dimaksudkan bagi mengelakkan pihak terbabit mendapat promosi percuma.

Saya tak kisah jika orang tak kenal saya walaupun pernah menang anugerah.

“Namun, saya tak mahu dedahkan siapa orang ini, tidak perlu buat dia jadi terkenal,” ujarnya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok