PENANTIAN ramai selama 17 tahun untuk menonton sekuel filem yang pernah mencipta fenomena iaitu Jangan Pandang Belakang (JPB)kembali menghantui pencinta naskhah seram tanah air.
Kalau dahulu, JPB diarahkan Ahmad Idham, kini filem Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2) yang meraih kutipan RM2 juta selepas empat hari tayangan bertukar tangan apabila Pierre Andre mengambil alih kerusi sutradara.
Diterbitkan sekali lagi oleh syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG), Pierre berkata, dia yang sudah lebih 10 tahun tidak mengarah yakin naskhah tersebut mampu mengembalikan nostalgia seram kepada peminat yang sudah lama menantikan sambungan JPB.
“Semua tahu JPB usianya sudah mencecah 17 tahun dan pernah mencipta fenomena membanggakan. Saya tahu ramai menantikan sambungan filem kerana pengakhirannya tergantung.
Sebagai salah seorang yang terlibat dalam filem itu, memang rasa bangga apabila berpeluang duduk di kerusi pengarah untuk sekuelnya.
“Apa yang boleh dijanjikan adalah ini merupakan filem paling seram pernah saya hasilkan, insya-Allah tidak akan mengecewakan penonton,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui 17 tahun adalah tempoh yang terlalu lama untuk menambat semula hati penonton, Pierre bersyukur apabila kesemua barisan pelakon yang menjayakan JPB2 memberi kerjasama dan hasil kerja terbaik meski tempoh penggambaran sangat singkat.
Sebenarnya agak gementar untuk mengarah filem ini sebab jangkaan ramai orang ramai terhadap JPB2 sangat tinggi, ditambah pula dengan kutipan ‘box office’ yang pernah diraih filem pertama.
“Saya pula main gila tiba-tiba setuju untuk mengarah filem ini. Bila sudah terima, rasa tekanan yang sangat besar buat saya.
Kalau ikutkan, hampir 80 peratus skripnya saya rombak tetapi tidak kacau asas cerita ini. Saya juga kerap berfikir adakah orang ramai akan terima JPB2, memang risau.
“Namun, selepas melihat usaha pasukan produksi dan dedikasi barisan pelakon, kerisauan tersebut hilang,” ujarnya.
Hantu
Sebagai pengarah filem seram, Pierre mempunyai pandangan dan cara berbeza dalam menonjolkan watak hantu dalam naskhah arahannya.
Katanya, cerita seram tidak semestinya memaparkan imej hantu secara terang-terangan sebaliknya boleh dilakukan dengan teknik imbasan .
“Saya juga sengaja main tarik tali dengan perasaan penonton dengan tidak menggunakan imej hantu yang nampak ‘seketul’.
Saya tak mahu orang nampak bahan-bahan yang digunakan untuk hasilkan imej tersebut seperti latex atau darah palsu sebab jadi tidak realistik.
“Berdasarkan pengalaman saya nampak hantu, memang tak nampak bentuk yang betul tetapi hanya imbasan,” tuturnya.
Tambah Pierre lagi, dia bukan sutradara yang mahu menghasilkan sebuah kisah hantu sebaliknya mengetengahkan mood seram dalam naskhah arahannya.
Kalau orang nak membanding-bandingkan JPB dengan JPB2, terpulang kerana itu hak masing-masing.
“Harap orang ramai dapat menerima cara saya dan filem ini dapat sambutan hebat,” katanya lagi.
Anak kepada pelakon Khatijah Tan itu turut mendedahkan antara sebab dia menerima tawaran untuk mengarah filem tersebut adalah ingin mengangkat semula genre filem seram tempatan.
Raja filem seram
Bukan memandang rendah kualiti filem sedia ada, dia cuma tidak mahu karya seram tempatan mempunyai jurang jauh dengan negara seberang.
“Apa yang saya cuba lakukan menerusi JPB2 adalah mahu menjulang semula kegemilangan filem-filem seram dengan menghasilkan karya berkualiti.
Kalau kita bandingkan dengan filem seram Indonesia, mereka sudah hasilkan banyak karya berkualiti dengan adanya pengarah hebat seperti Joko Anwar.
“Bukan nak bersaing dengan mereka tetapi saya tak nak kita ketinggalan jauh sangat,” ujarnya.
Selain itu, dia juga mahu dikenali sebagai raja filem seram satu hari nanti.
Itu visi saya ketika ini. Kalau Indonesia ada Joko Anwar, insya-Allah Malaysia ada Pierre Andre.
“Dulu suka buat filem romantik komedi tetapi sebenarnya kekuatan bukan di situ. Jadi, selepas ‘bertapa’ selama 10 tahun, saya ada haluan berbeza,” jelasnya.
Ujarnya lagi, 10 tahun menyepi turut membuka matanya untuk menghasilkan filem yang jauh lebih baik.
“Baru saya tahu kenapa seorang pengarah perlu berumur 40 tahun ke atas.
Kalau pengarah tempatan masih selesa di tempat yang sama, filem seram yang dihasilkan masih di takuk lama.
“Jadi, saya mahu cuba sesuatu yang lain dan ‘up to date’ dengan trend terkini,” katanya.
JPB2 yang ditayangkan sejak 21 November lalu itu dibintangi Emma Maembong, Iedil Putra, Alif Hadi, Khatijah Tan, Mawar Rashid, Ruminah Sidek dan ramai lagi. – HIBGLAM