MERAIH pujian ramai termasuk ahli keluarga, pelakon Amir Ahnaf bangga menonton lakonan sendiri dalam filem terbaharu Kahar Kapla High Council yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 November ini.
Lebih membuatkan hati Amir, 24, tersentuh, ibu dan bapanya turut memuji lakonan hebatnya dalam filem yang merupakan prekuel bagi drama Projek: High Council yang berjaya meledakkan namanya tahun lalu.
“Alhamdulillah, mama bangga kerana saya sudah melakukan terbaik selain turut menitiskan air mata ketika menonton filem tersebut.
Ayah pula ucap tahniah dan katanya ini paling terbaik. Saya sangat bangga dengan kemampuan diri sebab tak pernah merasakannya seumur hidup.
“Rasa gembira sebab dapat membanggakan ibu bapa. Insya-Allah saya akan dapat banggakan industri seni Malaysia juga,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan gala filem tersebut semalam.
Dalam masa sama, pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin itu tidak berasa segan sekiranya filem tersebut ditonton ahli keluarga kerana semua itu hanya sekadar lakonan semata-mata.
Saya tiada rasa segan sebab apa yang dipersembahkan ialah watak Kahar, bukannya tentang diri sendiri.
“Saya yakin setiap ahli keluarga memahami dan apa yang mereka tonton hanya imej atau visual untuk memberi pengajaran dan teladan,” ujarnya.
Selain Amir, naskhah arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi Aedy Ashraf, Sky Iskandar dan Fadhli Masoot. – HIBGLAM