‘Ahmad Nawab hidup kesunyian di hujung usia’

“SEDIHNYA bila sudah hujung usia, dia kesepian.”

Demikian perkongsian komposer veteran, Datuk Chuari Selamat yang berkongsi kisah pilu legenda muzik, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab yang menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya dalam kesunyian.

Menurut Chuari, 70, rasa sepi itu semakin dirasakan sejak kematian isteri Allahyarham, Siti Zainab Ibrahim pada 2020, di samping kurangnya perhatian daripada individu yang pernah dibimbing beliau.

“Dia cakap dengan saya dia sunyi. Orang yang pernah dibimbing sudah tidak berapa ambil tahu hal dia. Ini memang sangat sedih.

Beberapa kali jumpa dia, dia minta datang lagi seolah-olah arwah macam mahu cari kawan. Dalam lima tahun belakangan ini nampaklah kesunyian itu. Tambahan pula apabila isteri sudah meninggal.

“Kalau saya datang rumah, dia banyak termenung dan cakap dalam keadaan sayu. Dulu orang panggil dia main seksofon tapi hujung hujung sudah macam senyap,” katanya ketika ditemui Surau Al-Tarbiyyah Al-Islamiah, Gombak, hari ini.

Sebagai rakan yang telah bekerjasama dengan Allahyarham sejak 1970-an, Chuari turut menyaksikan cabaran besar yang dihadapi oleh maestro muzik itu, termasuk menjadi mangsa individu yang dengki.

“Bila perkara tidak diingini berlaku, dia bersikap tenang.

Dalam menghadapi situasi ini, dia jujur dengan apa yang berlaku. Orang mahu buat apa dia tidak kisah. Dia hanya dengan perjuangannya. Jika dia di pihak yang betul dia akan pertahankan,” dedahnya.

Terdahulu, Chuari sudah mula bekerjasama dengan Allahyarham Ahmad Nawab sekitar 1970-an dan terlibat dalam menghasilkan pelbagai lirik lagu.

Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab merupakan figura penting dalam landskap muzik Malaysia, dengan banyak lagu malar segar yang terus diingati sehingga kini.

Sebagai komposer, pemuzik, dan penerbit, beliau meninggalkan legasi luar biasa yang menjadi inspirasi kepada generasi seni tanah air.

Pemergian beliau semalam di usia 92 tahun meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan dan peminat seni, yang mengenang arwah sebagai seorang maestro muzik yang komited serta seorang insan yang rendah hati. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok