PENYANYI Sheqal tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan dirinya kini adalah seorang penerima bantuan.
Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 58, hanya mampu meluahkan rasa syukur atas setiap sumbangan yang diterimanya apabila tidak mampu bekerja sejak diserang angin ahmar lima tahun lalu.
“Dulu saya bantu orang lain, sekarang saya yang terima bantuan. Saya rasa amat sedih.
Sebelum ini memiliki perniagaan sendiri iaitu kopi tetapi sejak sakit semua itu sudah tiada. Saya bersyukur sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban,” ujarnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Nusantara itu memberitahu, dia telah diserang angin ahmar sebanyak empat kali dan kali terakhir adalah pada tahun lalu.
Menurut Sheqal, dia hanya mampu terbaring selama empat tahun namun selepas menjalani rawatan, kesihatannya semakin pulih walaupun masih lemah.
Dulu saya hanya boleh baring dan tidak boleh bercakap. Sejak buat rawatan di Johor saya sudah boleh berdiri sedikit dan sudah boleh bercakap tidak sampai setahun,” katanya.
Meskipun tidak boleh menyanyi seperti dahulu, cintanya dalam bidang seni tidak pernah pudar dan kini aktif menulis buku keagamaan.
Menulis adalah cara saya teruskan bidang seni. Saya tulis syair tentang agama dan dibukukan.
“Biasanya saya menulis selepas solat tahajud dan sunat dhuha. Ini juga cara saya melupakan seketika tentang sakit,” luahnya lagi.
Dalam pada itu Sheqal bersyukur sejak berita tentang sakitnya tersebar ramai kenalan dalam kalangan selebriti meluangkan masa menziarah di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.
Sheqal ditemui ketika Majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang berlangsung pada Sabtu.
Majlis tersebut juga mendapat kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia dan Sheqal tersenarai antara 30 orang penerima sumbangan.
Selebriti lain yang turut menerima sumbangan adalah Zaiton Sameon, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Norlia Ghani, Ali XPDC, Isma Alif, Shima, Sazali P. Ramlee, Shasha Rohaizad, Nas Ahmad, Alfred Ho, Roy, Datuk Jefrydin, Datuk Andre Goh dan Zul Mahat.
Selain itu, Sathiya, Yus Barat, M Jamil, Sofia Ibrahim, Mak Wan, Dr Sam, Mak Jah, Kieran, Ebby Yus, Harun Hashim, Ruslan Salleh, Murali Abdullah, Zaleha Hamid dan Datuk Sarimah Ahmad juga tidak ketinggalan menerima sumbangan.
Setiap selebriti mendapat sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara itu, waris komposer Allahyarham Datuk S. Atan yang meninggal dunia pada 16 November lalu turut menerima sumbangan khairat kematian.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Yayasan Pekema iaitu Datuk Mohamed Nazari Noordin dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez. – HIBGLAM