GARA-GARA mempunyai masalah slip disc (tulang belakang) pelakon Beto Kusyairy terpaksa mengurangkan babak aksi dalam lakonannya.
Menurut Beto atau nama sebenarnya, sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 44, masalah slip disc tersebut berpunca daripada kecederaan lama yang kembali menyerang seiring peningkatan usianya. Atas sebab itu, pergerakannya terbatas dan tidak selincah dahulu.
Umur saya sudah 44 tahun, sudah pasti semua perkara menjadi perlahan. Mahu buat badan jadi perlahan, apatah lagi pergerakan sudah tidak sama seperti zaman muda dahulu. Banyak kecederaan lama yang saya tidak pernah layan sebelum ini, sekarang datang semula. Pinggang mula sakit dan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan baru-baru ini rupanya ada dua tempat slip disc. Selama ini saya memang tidak layan sakit itu.
“Ikutkan hati mahu berlakon aksi, tetapi kemampuan fizikal tidak membenarkan, sudah terbatas sedikit. Saya terfikir juga mahu perlahankan watak-watak yang terlalu aksi. Mungkin selepas ini saya berlakon cerita Megah Holdings saja,” ujar Beto berseloroh tentang tahap kesihatannya ketika ditemui di set penggambaran filem Gayong di TUDM, Sungai Besi semalam.
Dalam perkembangan lain, Beto yang memegang watak utama dalam filem Gayong bersyukur kerana masih mampu melakukan babak aksi seperti yang dikehendaki pengarah dari awal hingga ke hari terakhir penggambaran.
Saya diberikan koreografi yang sangat bagus dan mampu dibuat. Saya juga dijaga dan dikawal dengan baik dari sudut keselamatan. Alhamdulillah, dari hari pertama sehingga hari terakhir penggambaran filem Gayong, saya dan barisan pelakon lain tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sekadar lebam dan luka-luka biasa,” jelas Beto.
Berkongsi mengenai cabaran membawakan watak Allahyarham Datuk Meor Rahman iaitu pengasas seni Silat Gayong, Beto menjelaskan pada mulanya berasa bimbang memikirkan penerimaan masyarakat terutama keluarga arwah dan pesilat Gayong. Bahkan Beto pada awalnya menolak tawaran tersebut, namun selepas diyakinkan pihak produksi barulah dia bersedia melakonkan watak figura terkenal itu.
“Saya sendiri anak Gayong, saya belajar silat Gayong sejak darjah satu sampai habis sekolah menengah. Tetapi selepas masuk universiti aktiviti silat mula perlahan. Jika ikutkan fizikal saya dengan Datuk Meor memang jauh berbeza kerana arwah pada usia 70-an masih tegap dan berotot. Namun, selepas berjumpa dengan penerbit dan diterangkan filem ini tentang kehidupan beliau sebelum penubuhan silat Gayong ketika zaman British, barulah saya terima,” terang Beto.
Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak tersebut turut menampilkan Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama. Naskhah berkenaan dijangka masuk panggung menjelang Mei 2025. – HIBGLAM