MEMBARISKAN ramai penyanyi hebat, syarikat perbankan terkemuka CIMB bakal mengadakan konsert Kita Bagi Jadi bersempena ulang tahun ke-100 pada 24 November ini.
Konsert istimewa yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan diiringi Orkestra Filharmonik Muda Malaysia (MPYO) di bawah pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.
Penghibur yang disenaraikan ialah Datuk Zainal Abidin, Aina Abdul, Azlan & The Typewriter, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Jaclyn Victor selain penampilan khas pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang bersama pelakon Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.
Ketua Pegawai Penjenamaan dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, konsert Kita Bagi Jadi adalah persembahan muzikal mega dengan penceritaan visual dipersembahkan 100 artis untuk 100 minit.
Negara kita mempunyai ramai anak muda yang berbakat besar termasuk MPYO yang akan membuat persembahan orkestra pada malam konsert nanti.
“Kami mahu mempromosikan generasi muda dalam arena muzik menerusi bimbingan Ahmad Muriz dan menggabungkan pemuzik terbabit bersama barisan penyanyi tersohor negara.
CIMB menyediakan platform dan memberikan peluang buat persembahan, selain mengetengahkan bakat di pentas yang gah bertepatan sambutan ulang tahun ke-100 kami.
“Saya tahu ramai yang pernah ke konsert, tapi kali ini berbeza. Bukan konsert biasa, sebaliknya ini adalah pengalaman tak boleh dibeli dengan duit dan sebagai penghargaan kepada pelanggan kami,” katanya pada sidang media konsert tersebut, baru-baru.
Toni berkata, CIMB mahu memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan setia yang sudah bersama pihaknya sejak mula ditubuhkan pada 1924 sehingga sekarang.
“Sempena sambutan CIMB ke-100, kami akan mempersembahkan 100 persembahan yang turut menyelitkan sesi ramah mesra dengan artis serta pelbagai acara sampingan lain.
“Konsert ini bertepatan dengan slogan Kita Bagi Jadi di mana kami ketengahkan semangat berusaha mencapai kejayaan untuk menyuntik iltizam kepada seluruh anak Malaysia,” ujarnya.
Konsert yang juga acara kemuncak meraikan tahun ke-100 CIMB itu turut menyemai impak positif menerusi pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat.
Kita Bagi Jadi adalah gerakan sosial yang bermatlamat memupuk positiviti dan meraikan semangat ketahanan yang dipamerkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Muriz berkata, sepanjang lebih sejam konsert setiap penghibur bakal membawakan tiga lagu dengan diiringi bunyian mewah daripada MPYO.
Uniknya, konsert ini hanya dibuka secara eksklusif kepada jemputan khas bank terbabit. – HIBGLAM