RIAK wajah tenang dan ceria pelakon Nur Fazura serta Fattah Amin ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor berhubung hak penjagaan anak mereka mendapat pujian warga maya.
Kata netizen, keadaan itu berbeza dengan proses perceraian sebelum ini apabila kedua-duanya kelihatan sunggul dan menangis ketika bertemu pihak media.
“Alhamdulillah semuanya kelihatan baik dan sepertinya mereka betul-betul sudah capai kata sepakat.
Eloklah mereka tidak menangis lagi depan kamera. Risau kita kalau ada drama air mata lagi.
“Insya-Allah keadaan nampak baik macam ini, boleh keluar lagu baharu nanti,” antara komen peminat.
Selain memberikan pujian, netizen turut meluahkan pandangan masing-masing terhadap hak lawatan dan bermalam yang diterima Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, ke atas anaknya, Nur Fatima Aisya.
Menerusi persetujuan yang dicapai dengan Fazura, aktor itu dibenarkan bermalam sebanyak dua kali sebulan dan lawatan tiga kali seminggu.
Sehubungan itu, sebilangan netizen mendakwa peluang bermalam dua kali sebulan tidak cukup untuk mewujudkan hubungan baik antara anak dengan bapa.
“Dua kali sebulan sahaja tidur? Apa saja memori nanti?
Bagi saya ibu atau bapa yang tetapkan syarat adalah sangat kejam. Melainkan ibu atau bapa itu seorang yang jahat dan boleh mencederakan anak.
“Betulkah hanya dua kali sebulan untuk hak bermalam?” demikian antara komen netizen.
Hari ini Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 40, dan Fattah mencapai kata sepakat soal hak penjagaan anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor.
Kedua-dua meluahkan rasa syukur apabila kes mengenai penjagaan anak dapat diselesaikan secara baik.
Sebagai rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM