SELEPAS mendedahkan skandal bekas suami, penyanyi Yulhee tampil menuntut hak penjagaan anak dan nafkah.
Wanita berusia 27 tahun itu mendakwa bekas suaminya, Choi Min-hwan terlibat dalam aktiviti pelacuran menerusi sebuah rancangan televisyen Korea.
Dia turut mendakwa Min-hwan kerap meluangkan masa dengan pelayan bar sewaktu mereka masih berumah tangga.
Bekas anggota kumpulan Laboum itu dilaporkan telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Keluarga Seoul bagi menukar hak penjagaan anak dan pembahagian harta.
Selepas perceraian mereka pada 2023, isu hak penjagaan anak dan nafkah dilaporkan tidak dibincangkan secara formal.
Min-hwan sebelum ini diberikan hak penjagaan sementara untuk membolehkan Yulhee menstabilkan diri dari segi kewangan.
Bagaimanapun, Yulhee kini menyedari haknya untuk menuntut penjagaan penuh dan pembahagian harta yang lebih adil.
Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 2018 dan dikurniakan seorang anak lelaki serta dua anak perempuan kembar, namun sudah berpisah tahun lalu.