KEPUTUSAN untuk menoktahkan perkahwinan selepas tujuh tahun hidup bersama tidak disesali pelakon Nur Fazura.
Bagi bekas isteri kepada aktor Fattah Amin itu, perceraian itu membuatkan dirinya bersemangat meneruskan kehidupan.
Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut mengakui sudah memberikan yang terbaik selepas bergelar isteri kepada Fattah pada 27 November 2017.
“Tentulah saya pernah memperjuangkan cinta. Saya berkahwin selama tujuh tahun tetapi sudah berpisah pada bulan lalu.
Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur dan berbangga kerana dapat bangkit dan saya sudah memberikan yang terbaik kepada perkahwinan itu,” katanya.
Fazura memberi reaksi itu ketika hadir sebagai bintang undangan sebuah rancangan di Indonesia, Sea Today baru-baru ini bagi mempromosikan lagu baharunya, Bertahan Demi Cinta.
Jelas Fazura, lagu tersebut menceritakan tentang perjuangan pasangan suami isteri yang berusaha mempertahankan perkahwinan mereka.
Fazura turut berterima kasih kepada peminat yang telah memberikan sokongan positif terhadap lagu itu.
“Lagu ini tentang lelaki dan wanita yang saling mencintai. Tentu saja dalam perkahwinan ada banyak dugaan.
Jadi lagu ini tentang bagaimana mereka memperjuangan dan bertahan dalam setiap rintangan itu. Disebabkan itu tajuk lagu ini dinamakan Bertahan Demi Cinta.
“Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan. Ramai yang menyukai lagu ini. Disebabkan perceraian saya, mereka masih mengharapkan agar kami (dengan Fattah) akan berbaik semula,” ujarnya.
Difahamkan kemunculan Fazura dalam program itu menjadi penampilan pertamanya di televisyen selepas sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.
Sebagai info, Bertahan Demi Cinta merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi yang juga komposer Ippo Hafiz dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Indonesia, Hits Records pada 10 Oktober lalu.
Lagu tersebut menjalani proses rakaman sekitar Februari lalu ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri. – HIBGLAM
View this post on Instagram