KERJA keras Fiza Sabjahan sebagai personaliti televisyen selama hampir dua dekad akhirnya terbayar apabila diumumkan sebagai Pengacara TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) baru-baru ini.
Siapa sangka, pencalonan sulung menerusi Wawancara Khas Bersama Presiden Indonesia Joko Widodo berjaya membuatkan pemilik nama penuh Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 42, itu membawa pulang trofi pertamanya dalam arena penyiaran yang sememangnya menjadi impian semua pengacara di Malaysia.
Lebih mengejutkan empunya diri apabila dia turut menewaskan pesaing terdekat yang juga pemenang terdahulu iaitu Fedtri Yahya dalam kategori sama.
Berkongsi kegembiraan, Fiza menganggap kemenangan tersebut sebagai pemangkin semangat untuk menjadi seorang hos lebih versatil, selain mencuba pelbagai bidang baharu dalam dunia pengacaraan.
“Selama 17 tahun bergelumang dalam dunia pengacaraan, macam-macam perkara berlaku dalam hidup saya.
Saya bukan saja pengacara tetapi juga sebagai wartawan dan penerbit. Sayangnya, kejayaan ini tak dapat dikongsi bersama arwah kakak yang meninggal dunia setahun lalu ditambah pula dia memang pengkritik dan penyokong utama saya.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih dengan syarikat pengurusan TV3 yang banyak memberi peluang dan kepercayaan sehingga berada di posisi ini sekarang,” katanya kepada HibGlam.
Kemenangan yang diraih itu juga mahu dijadikan inspirasi untuk membantu melahirkan lebih ramai pengacara berkualiti.
Baginya, pelapis dalam bidang penyiaran televisyen amat diperlukan. Dia meminta generasi muda percaya dengan kemampuan dan bakat sendiri.
Sebelum ini, ramai cakap kepada saya supaya bekerja kerana bakat. Mereka minta sentiasa percaya pada rezeki Allah SWT sebab, satu hari nanti orang nampak potensi kita.
“Jadi saya terus berusaha sebaik mungkin tanpa meletakkan sebarang harapan atau pujian.
“Saya berharap dapat melahirkan generasi pelapis yang lebih bagus daripada kami (pengacara) yang sedia ada sekarang ini,” ujarnya.
Tak cantik
Dalam pada itu, Fiza mendedahkan pernah dihina kerana dikatakan tidak mempunyai rupa paras menarik pada awal kemunculannya dahulu.
Tidak patah semangat, dia memilih untuk mengabaikan segala kata-kata negatif yang dilemparkan segelintir individu dan fokus untuk mengejar impiannya.
Itu memang realiti yang pahit untuk ditelan. Situasi itu saya lalui ketika mula menceburi bidang pengacaraan dan terlibat dengan program besar iaitu Nona.
“Waktu itu, ada pihak berasakan saya tidak cukup cantik untuk jadi hos program itu tetapi saya abaikan sahaja dan trofi ini menafikan semua kata-kata negatif tersebut,” jelasnya lagi.
Terus berkongsi pandangan, Fiza berkata, seseorang pengacara tidak harus lokek berbelanja untuk tampil lebih menarik.
Ujarnya, perkara tersebut adalah penting bagi memastikan kekal relevan dalam industri.
Menjaga penampilan diri memang amat penting untuk seorang pengacara. Tak semestinya perlu benda mahal pun untuk nampak cantik dan kemas.
“Tidak salah pun untuk melabur dan berbelanja sedikit untuk mendapatkan penampilan lebih menarik sebab pengacara harus nampak sentiasa bersedia,” tuturnya.
Bukan sahaja penampilan, keyakinan diri dan bakat juga harus berjalan seiring bagi menjadi seorang personaliti televisyen yang disegani.
“Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah orang akan menilai kita berdasarkan bakat. Bukan sekadar rupa.
Saya percaya semua ini. Kalau rasa kurang dari segi bakat, carilah ilmu dan jangan pernah berhenti belajar,” tuturnya lagi.
Bercerita lanjut, dia turut percaya seorang pengacara yang bagus harus sentiasa belajar beradaptasi dengan perubahan dan kehendak zaman.
“Saya tiada tip tertentu tetapi prinsip kerja adalah tidak menganiaya, tidak ganggu orang dan jalankan kerja sebaik mungkin.
“Walaupun rasa diri sudah agak lama dalam industri, tidak salah untuk belajar benda baharu daripada generasi muda. Sebab zaman ini, penonton dan generasi sudah berubah,” jelasnya. – HIBGLAM