Ini bukan projek one-off’

KATA orang, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Peribahasa tersebut tepat menggambarkan situasi dialami figura seni berbakat besar, Naim Daniel.

Menurut Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, momen terlupa lirik sewaktu menyanyi secara solo masih menghantui diri. Lebih dahsyat pengalaman buruk tersebut membuatkan dirinya berendam air mata selama seminggu.

“Kejadian tersebut berlaku di sebuah acara. Tiba-tiba saya rasa ‘lost’ sampai terlupa lirik lagu sendiri sedangkan sudah berkali-kali saya menyanyi lagu yang sama.

“Pulang dari acara tersebut saya terus menangis dan berkurung di dalam bilik selama seminggu.

“Ketika itulah saya berfikir untuk mencuba sesuatu yang baharu. Saya ingin keluar daripada zon selesa. Sebab itulah tertubuhnya kumpulan MUAH!” katanya kepada Hibglam baru-baru ini.

MUAH! dianggotai lima anak muda iaitu Naim sebagai vokalis, Zenith (gitar), Mairil (dram), Ayai (keyboard) dan Tasneem (bass).

Membentuk sebuah kumpulan muzik bukanlah satu perkara yang mudah, sementelah mencari keserasian adalah kunci utama.

Naim bersyukur dia sudah mengenali Ayai dan Mairil sejak 10 tahun lalu ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Kami adalah teman sebilik dan teman sekelas sewaktu belajar di UiTM. Melalui Mairil pula kami berjaya dapatkan Zenith sebagai pemain gitar. Mereka berkenalan di sebuah acara muzik,” kongsinya.

Mempunyai sekuntum bunga dalam kumpulan muzik yang dimonopoli kebanyakan lelaki membuatkan MUAH! menjadi antara kugiran yang unik. Tambahan pula, anggota kumpulan berjantina wanita tersebut merupakan pemain bass.

“Saya hubungi abang dan adik daripada kumpulan SOG dan beritahu mereka saya mahukan pemain bass wanita. Jadi mereka kenalkan saya pada Tasneem,” jelasnya.

Berbeza genre

Muzik yang dibawakan MUAH! adalah berbeza 180 darjah dengan apa yang sering dibawakan oleh Naim Daniel secara solo.

Mengetengahkan genre pop rock, kata Naim muzik MUAH! adalah cerminan antem untuk masyarakat muda yang sedang patah hati.

“Untuk MUAH! saya memang ingin jadikan muziknya lain daripada muzik Naim Daniel. Kita suntik karakter yang berbeza.

“Sebab itu saya tak namakan kumpulan ini sebagai Naim Daniel & MUAH! sebaliknya MUAH! sahaja kerana saya adalah sebahagian daripada mereka.

“MUAH! adalah satu eskapisme untuk saya lari daripada cara penulisan muzik saya. Muziknya lebih segar lebih muda dan lebih kepada Gen-Z. Lirik-lirik yang ditulis lebih ‘straightforward’. Tak perlu fikir banyak sangat.

“Tapi ini tidak bermaksud saya tinggalkan terus cara penulisan muzik saya yang sebelum ini,” katanya.

Untuk buah tangan pertama, MUAH! muncul dengan lagu BBF (Boy Best Friend) sebagai debut mereka dalam arena muzik tempatan.

Bercerita lebih lanjut mengenai BBF, kata Naim lagu tersebut menceritakan tentang seorang lelaki yang mempunyai kekasih tetapi dalam masa yang sama, kekasihnya mempunyai rakan karib lelaki yang cuba untuk menawan hatinya.

BFF

Ditanya, adakah lagu mempunyai kaitan dengan kisah hidupnya, kata Naim, dia mengambil inspirasi daripada kisah-kisah orang di sekelilingnya lalu dijadikan lirik.

“Lirik lagu ini kami tulis dengan sangat mudah dan pengguna bahasa dalam lagu ini pun boleh dikatakan menggunakan bahasa ‘pasar’ supaya apabila pendengar mendengar lagu ini, mereka akan lebih memahami serta berasa dekat dengan kehidupan mereka,” jelasnya.

Mengakui bait-bait lirik dalam BBF mungkin kedengaran sedikit kasar, namun kata Naim, mereka cuba kurangkan beberapa lirik yang lebih kesat supaya lagu berkenaan lulus berputar di radio.

Mahu bertahan lama

Lumrah menjadi sebuah kumpulan, pasti ramai yang akan mempunyai tanggapan sejauh mana mereka mampu bertahan.

Melihat sejarah adannya kumpulan ternama berpecah mahupun hilang dari radar, Naim yakin, MUAH! boleh bertahan. Dia enggan projek MUAH! sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Saya tidak melihat MUAH! sebagai projek ‘one-off’ (semusim). Kami semua masih muda, masih baru dan masih segar.

“Saya harap kumpulan ini akan dapat bertahan sampai bila-bila. Rugilah kalau buat benda separuh jalan lepas tu hilang. Kami tak mahu jadi seperti itu,” katanya.

Tidak sekadar tampil dengan single, MUAH! juga bakal mengeluarkan album mini tidak lama lagi di bawah syarikat rakaman Sony Music Malaysia yang mengandungi enam buah lagu termasuklah karya berbahasa Inggeris.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok