‘Teringin juga mengidam bau tayar, benda pelik lain’

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali bersyukur tidak mengalami alahan atau mengidam yang pelik-pelik sepanjang tempoh kehamilan anak pertamanya.

Sudah memasuki trimester kedua, Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, mengakui menantikan momen mengidam seperti dilalui bakal ibu lain.

“Setakat ini saya tidak mengidam yang pelik-pelik. Cuma itulah saya teringin nak makan burger Ramly dan kek, semuanya benda mudah cari.

Saya pun teringin juga nak mengidam perkara macam bau tayar ke, saya pun menanti perkara-perkara itu tetapi belum rasa lagi,” katanya kepada HibGlam pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 baru-baru ini.

Pelantun lagu Pematah Hati itu berkata, keputusannya mengambil masa untuk mengumumkan berita kehamilan kepada umum adalah kerana mengikut pesanan orang tua.

Katanya, dia mengumumkan perkara tersebut selepas orang ramai mula mempersoalkan perubahanbentuk badannya dan enggan peminat terus membuat spekulasi sendiri.

“Saya banyak mendengar petua orang tua, seelok-eloknya kita simpan berita kehamilan dulu sampai satu tempoh masa sebelum umumkan kepada semua.

Sebenarnya saya mahu mengambil masa untuk mengumumkan kehamilan ini tetapi disebabkan ramai yang sudah bertanya dan ada yang komen dalam media sosial, saya pun tidak mahu biarkan orang buat spekulasi sendiri.

“Saya rasa lebih baik begitu dan disebabkan itu saya umumkan kehamilan awal bulan ini. Itu pun sudah memasuki penghujung trimester kedua,” katanya lagi.

Ditanya persediaan menyambut kelahiran cahaya mata pertama, Nabila berkata masih banyak belum dibeli berikutan kekangan masa.

“Jadual kerja saya masih padat, mungkin akan membeli keperluan bayi itu secara atas talian atau persiapan pada saat-saat akhir.

Jujur saya cakap, tak banyak persediaan yang saya buat memandangkan masih lagi aktif bekerja. Cukuplah sekadar benda-benda yang penting dahulu.

“Saya pun nak juga ke luar negara untuk membeli-belah barangan bayi tetapi masa tidak mengizinkan. Tak mengapalah boleh beli secara online, tak jadi masalah,” ujarnya.

Terdahulu, pada 4 Oktober lalu, Nabila mengumumkan sedang hamil anak sulung yang dijangka dilahirkan pada awal Januari depan.

Nabila dan usahawan Nik Iruwan Nik Izani berkahwin pada 18 November tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok