SAYA single. Tolong carikan girlfriend untuk saya”.
Demikian respons pelakon sensasi, Amir Ahnaf saat diajukan soalan tentang status terkini dirinya.
Menurut Amir atau nama lengkapnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin , 24, dia kini lebih selesa menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonan yang semakin rancak berkembang.
Memang betul saya single sekarang. Selain fokus berlakon saya kini aktif dengan aktiviti larian bersama kumpulan Challo setiap hujung minggu.
“Shout out to Challo Run kerana memberi inspirasi serta galakan kepada generasi muda untuk amalkan hidup sihat,” katanya kepada HibGlam.
Biarpun baru setahun jagung bergelar anak seni, nama Amir yang meledak menerusi drama Project High Council sering dihimpit kontroversi.
Terbaharu, Amir dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita dari Singapura selepas foto mereka tular namun pelakon itu menafikan jejaka dalam gambar tersebut adalah dirinya.
Ditanya adakah dia ralat apabila terpalit dengan kontroversi itu, kata Amir dia mengambil pendekatan duduk di rumah menonton Netflix sebagai cara melupakan masalah.
Setiap kali balik rumah, saya buka kasut, letak beg terus duduk di atas sofa dan menonton filem dalam Netflix.
“Saya ikut nasihat pengarah filem Kahar: Kapla High Council yang meminta saya menonton banyak filem agar dapat memantapkan skil lakonan,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Amir bakal muncul dengan filem Kahar: Kapla High Council yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 28 November 2024. – HIBGLAM