‘Berhenti marah, bukan saya yang pukul isteri’

HAMPIR sedekad bergelar penyanyi dan masih kurang dikenali, penyanyi Sharul Kamal mengakui masih mencari ruang dan peluang untuk meledakkan nama dalam industri seni tanah air.

Bukan itu sahaja, bekas bintang Akademi Fantasia 2015 itu meletakkan harapan penyertaannya dalam program Famili Duo musim keempat (FD4) tahun ini dapat menjadi platform terbaik melonjakkan namanya.

Lebih membuatkan hatinya kecewa, Sharul mengakui masih ada yang keliru sehingga menyamakan wajahnya seperti Akim Ahmad dan pelakon Hafidz Roshdi.

Ikuti temu bual HibGlam bersama Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 28, yang berkongsi kepayahannya memahat nama sebagai anak seni sehingga hari ini.

HIBGLAM: Sudah sembilan tahun bergelar penyanyi tetapi masih dilabel sebagai ‘underated’, adakah anda kecewa dengan perkara tersebut?

SHARUL KAMAL: Sejujurnya ya, rasa kecewa dan terkilan sebab orang masih belum dapat ‘lock’ siapa Sharul Kamal walaupun sudah hampir sedekad menyanyi.

Paling kecewa dan marah apabila orang kerap tersalah dengan memanggil saya sebagai Hafidz dan Akim.

Adakah terlalu kerap wajah anda dikatakan sama seperti dua artis tersebut?

Sejak saya mula menyanyi sehingga hari ini, memang itu yang perlu dihadap.

Penatlah juga sebab orang lain punya isu, saya pula dimarahi. Ada juga yang tuduh mengapa saya cuba meniru dua artis itu, memang buat saya geram. Mungkin juga disebabkan wajah terlalu ‘awam’.

Apabila dikatakan mirip Hafidz dan Akim, adakah anda pernah mengalami pengalaman buruk?

Selalu, saya pernah dimaki dan ditengking oleh seorang wanita. Dia sangka saya Hafidz dan marah mengapa memukul isteri dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, sehingga hari ini saya masih terima mesej caci-maki dalam media sosial.

Kalau yang panggil saya Akim pula, mereka minta saya kirim salam pada isteri iaitu Stacy Anam. Macam-macam pengalaman dilalui sehingga hari ini yang adakalanya saya terfikir bila akan berakhir.

SHARUL bergandingan dengan penyanyi Tomok dalam program realiti, Famili Duo musim keempat.

Jadi, adakah penyertaan dalam Famili Duo merupakan inisiatif Sharul untuk nama dikenali dan membuktikan kemampuan diri?

Betul. Orang tak tahu perjalanan dan susah payah saya selama sembilan tahun. Cabaran saya adalah untuk kenalkan siapa saya kepada orang di luar sana.

Apabila dapat tawaran Famili Duo dan bergandingan dengan Tomok, saya memang sangat bersyukur.

Minggu pertama menang pula, harapnya selepas ini orang panggil saya Sharul Kamal, bukannya nama-nama lain. Tolonglah, jangan maki saya lagi.

Boleh anda berkongsi lebih lanjut mengenai penglibatan dalam Famili Duo dan gandingan dengan Tomok?

Saingan dalam Famili Duo memang sengit seperti musim-musim sebelum ini juga.

Saya dan Tomok tiada kepakaran dalam membuat persembahan yang ada elemen lawak atau sketsa seperti sesetengah peserta.

Cuma kami boleh janjikan persembahan menghiburkan dan berusaha beri idea luar kotak, insya-Allah.

Bergandingan dengan Tomok sangat baik, kami sama-sama beri dan kembangkan idea yang ada. Tiada istilah dia ‘overshadow’ atau sebaliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok