Bukan senang dapat Joey, 4 kali saya pujuk – Naqiu

SAYA minta maaf kepada orang ramai yang meneka pasangan duo saya ialah Hun Haqeem.”

Demikian respons penyanyi Naqiu mengenai ramalan orang ramai yang menyangka pasangannya dalam Family Duo musim keempat adalah pelakon Hun Haqeem.

Menurut pemilik nama penuh Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, itu, dia gembira kerana helah untuk menyembunyikan identiti pasangan duo sebenarnya iaitu Joey Daud berjaya.

“Ini bukan salah saya tetapi semuanya rancangan pihak produksilah yang mengelirukan netizen.

Saya tahu mengenai ramai meneka Hun Haqeem sebab ‘team’ saya ada maklumkan.

“Maksudnya, misi kami untuk menyembunyikan Joey berjaya.  Walaupun ada yang sudah teka dengan betul tapi masih ramai tidak tahu,” katanya kepada HibGlam pada sidang media selepas konsert minggu pertama Famili Duo musim keempat semalam.

Dalam pada itu, Naqiu mengakui mentalnya ‘menderita’ kerana perlu merahsiakan identiti Joey daripada pengetahuan umu hampir dua minggu.

Dua minggu juga sengsara simpan rahsia, bila buka topeng tadi (malam tadi) terus saya rasa lega.

“Pihak produksi pula sudah beri amaran jangan terlepas cakap.

Saya pujuk Joey empat kali. Selepas pujukan demi pujukan, akhirnya dia tunjuk minat tentang pertandingan pada pertemuan kali keempat. Tak senang nak dapatkan dia!” ujarnya.

Berkongsi keistimewaan Joey, vokalis kumpulan Boboy itu berkata, dia mahu orang ramai khususnya generasi muda menghargai bakat nyanyian sepupunya itu.

“Apabila generasi muda sekarang gelar Joey sebagai pelawak, saya sangat terluka sebab dia sebenarnya penyanyi yang sangat bagus suatu ketika dahulu.

Saya mahu orang sedar bahawa sebelum dia menjadi pelawak, Joey adalah seorang penyanyi dan adalah anak didik sifu M.Nasir.

“Itu yang saya mahu ketengahkah, semoga gandingan kami ini akan mencipta magis dan keserasian sepanjang program berlangsung,” jelasnya.

Terdahulu, identiti Joey sebagai pasangan duo Naqiu dirahsiakan oleh pihak produksi dan hanya didedahkan pada konsert minggu pertama Famili Duo semalam.

Selain Joey dan Naqiu, Famili Duo musim keempat turut disertai Tomok dan Sharul Kamal, Ayie Elham dan Salman Asis, Shiha Zikir dan Ieda Zikir, Zahid dan Anne serta Didi Astillah dan Thamiera. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok