KEKAL menjanjikan hiburan seiring keunikan pada setiap tahun, program Famili Duo terbitan TV3 kini memasuki musim keempat (FD4) dengan membariskan enam duo popular diwakili artis hebat tanah air.
Musim baharu program realiti yang menampilkan enam duo disertai pasangan adik-beradik dan sepupu tersebut mula menemui penonton sebanyak lapan episod setiap Ahad jam 9 malam di TV3, bermula 20 Oktober (semalam).
Antara pasangan duo yang terlibat pada musim kali ini adalah duo adik-beradik, Zahid dan Anne yang menyaksikan bekas peserta Akademi Fantasia 2004 itu kembali ke pentas program realiti selepas 20 tahun berlalu.
Turut bertanding, penyanyi bertaraf senior yang juga vokalis kumpulan New Boyz, Tomok yang bergandingan bersama sepupunya, Sharul Kamal.
Bersaing sama ialah pemegang trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) tahun lalu iaitu Shiha Zikir yang bakal bergandingan dengan kakaknya, Ieda Zikir.
Sementara itu, penyertaan vokalis Floor 88, Ayie Elham bergandingan bersama sepupunya, Salma Asis yang juga juara Mentor musim kelima dijangka memberi saingan hebat dalam FD4.
Duo seterusnya, Didi Astillah yang akhirnya membuat kemunculan di pentas FD4 dan bakal bergandingan bersama sepupunya, Yazmin Aziz.
Turut mengambil bahagian pada tahun ini, penyanyi senior yang juga vokalis kumpulan Boboy, Naqiu.
Penerbit Eksekutif FD4, Muhamad Sufian Che Isa, berkata antara daya penarik bagi musim baharu ini adalah persembahan setiap minggu membabitkan peserta yang pernah bergelar juara dan nama handalan dalam arena muzik.
“Sebenarnya, kelainan FD4 bergantung kepada kreativiti peserta membuat persembahan.
“Kita sudah masuk musim keempat, saya fikir semua pasangan atau duo pernah menyaksikan program musim terdahulu. Tanggapan kami tinggi untuk setiap duo dan mereka juga tahu.
“Saya fikir kelainannya adalah daripada segi persembahan peserta. Jadi, saya harap mereka boleh beri yang terbaik setiap minggu ikut tema yang diberi kelak,” katanya pada sidang media FD4 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Sufian lagi, pihak produksi memang berdepan cabaran untuk meyakinkan peserta.sejak gerak kerja sudah dimulakan sejak Mei lalu.
“Sebenarnya, bukan senang untuk mendapatkan artis. Kami sudah cuba hubungi ramai artis sejak Mei lalu. Ketika itu, kami sudah mula berunding dan berbincang dengan artis ini dan lihat kepada jadual mereka.
“Alhamdulillah, apabila sudah berbincang dan dapat persetujuan, saya lihat secara atas kertas, peserta kali ini antara yang terbaik. Tetapi, bergantung kepada persembahan mereka setiap minggu.
“FD berbeza, bukan hanya menyanyi sahaja. Sebaliknya, mereka adalah penghibur dan perlu membuat persembahan yang baik. Itu antara cabaran untuk mereka. Saya harap mereka mampu buat yang terbaik kali ini,” katanya kepada HibGlam.
FD4 dikemudikan artis serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos, manakala juri pula terdiri daripada Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Duo juara mingguan akan memenangi hadiah berjumlah RM10,000 setiap minggu dan juara pentas akhir FD4 akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM100,000. – HIBGLAM