Kerana Sharifah Zabrina, Trisha Ooi ‘korban’ rambut

DEMI memenuhi kehendak watak dalam drama terbaharu, pelakon Trisha Ooi sanggup mewarnakan rambutnya kepada coklat keperangan.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, berkata, perubahan itu dibuat atas permintaan sutradara Eyra Rahman untuk watak Sharifah Zabrina dalam drama Senyawa.

“Penampilan saya dalam drama ini 100 peratus merupakan idea pengarah. Sebelum ini saya tidak pernah warnakan rambut dalam mana-mana produksi.

“Saya hanya berlakon dengan warna rambut asli iaitu hitam. Sebelum ini pun ramai tahu saya berambut panjang kerana itulah diri saya.

“Namun untuk Sharifah Zabrina, saya memerlukan banyak usaha,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media drama Senyawa, hari ini.

Tambah Trisah, selain menentukan warna rambut, Eyra turut membantunya memilih pakaian yang perlu dipakai dalam drama berkenaan.

“Erya tentukan rambut dan pakaian saya sepanjang penggambaran.

“Saya percaya penampilan dapat menghidupkan lagi karakter. Sebelum pelakon berasa yakin dengan watak, pengarah terlebih dahulu melihat (menggambarkan) bagaimana perwatakan watak,” katanya.

Trisha turut menegaskan perubahan warna rambut dapat membantu fokus menterjemahkan watak lakonannya.

“Bagi saya perubahan penampilan perlu sekiranya dapat menghidupkan watak. Setiap kali melihat cermin dengan rambut perang, saya sedar ini bukan Trisha tetapi Sharifah Zabina,” ujarnya.

Selain Trisha, Senyawa yang bakal ditayangkan di aplikasi penstriman iQiYi bermula 25 Oktober depan ini turut dibintangi Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan dan Heryanto Hassan.

Senyawa menceritakan tentang pengorbanan seorang wanita yang menjadi ibu tumpang bagi pasangan suami isteri bernama Sharifah Zabina dan Iskandar (Shahz Jaszle). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok