PELAKON dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob bersyukur hubungannya dengan bekas isteri, Azrene Soraya Abdul Aziz masih kekal baik walaupun sudah bercerai beberapa bulan lalu.
Fazley, 46, berkata, rutin kehidupan hariannya dengan anak-anak dan Azren masih berjalan seperti biasa termasuk keluar makan bersama.
“Saya, Azren dan anak-anak semuanya okey. Kehidupan kami berjalan seperti sebelum ini, keluar makan dan tengok wayang.
Walaupun kami berpisah dalam akad dan tiada lagi perkataan yang melambangkan suami isteri, namun hubungan kekeluargaan itu masih utuh seperti mana 18 tahun kami sudah bersama.
“Anak-anak juga tidak mempunyai sebarang kekangan, WhatsApp group kami kekal ada, pergi makan pun masih bersama,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, bekas juara MasterChef Selebriti Malaysia itu berkata, perceraian yang berlaku tidak seharusnya memberi impak negatif terhadap individu sekeliling khususnya anak-anak.
Dia turut menegaskan perpisahan yang berlaku tidak akan sesekali memutuskan hubungan kasih sayang dalam sebuah institusi keluarga.
“Yang membezakan kehidupan sekarang ialah perhubungan yang tidak berlandaskan hubungan suami isteri.
“Saya pecaya perceraian tidak bermakna berakhir sebuah kasih sayang, hubungan kekeluargaan dan anak-anak tidak perlu menderita disebabkan perpisahan.
“Pegangan saya ketika ini ialah tidak semua yang pahit itu racun dan tak semua yang manis itu madu. Kehidupan perlu diteruskan, anak-anak pun memahami dan menghormati,” katanya lagi.
Hari ini, Fazley mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah berpisah dengan Azren beberapa bulan lalu dan tempoh idah mereka juga sudah selesai.
Katanya, perceraian tersebut berlaku atas persetujuan bersama selepas 18 tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, dan Ahmad Fierudz Shah 13 dan seorang anak perempuan, Alayna Selma yang kini berusia 7 tahun. – HIBGLAM