‘Kalau perangai Fattah tak elok saya tak akan pertahankan’

TIDAK kisah dikecam, pelakon Pekin Ibrahim menegaskan tindakannya memuat naik hantaran mengenai aktor Fattah Amin dalam media sosial baru-baru ini merupakan inisiatif untuk membantu memulihkan hubungan dengan bekas isterinya, Nur Fazura.

Sedar niat disalah tafsir, pemilik nama penuh itu Mohd. Iznan Ibrahim, 42, berkata, dia hanya mahu membantu menjernihkan keadaan dan tidak kisah dengan tanggapan negatif netizen terhadapnya.

Kecaman itu perkara biasa, pasti ada yang suka dan sebaliknya. Manalah tahu kalau Fazura terbaca, dia boleh menilai semula keputusannya.

“Ini perkara baik sebab saya tak mahu lihat rakan-rakan bercerai-berai dan mahu mereka kembali bersama. Namun, hanya mereka lebih tahu situasi sebenar,” katanya baru-baru ini.

Pekin menambah, dia juga tidak percaya dakwaan bintang filem Mat Kilau itu pernah berlaku curang seperti didakwa Fazura selepas bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.

Sebagai kawan, saya nak beritahu perkara positif sahaja. Bila ada yang dakwa Fattah curang, memang tak percaya sebab saya kenal dia macam mana.

“Saya buat hantaran tersebut agar orang tahu perangai sebenar Fattah,” ujarnya.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Mona Ellen ini turut menepis dakwaan sokongannya berat sebelah iaitu kepada pihak Fattah sahaia.

Kalau dia ada perangai yang tidak elok, saya tak akan pertahankan pun. Saya tahu dia macam mana. Sebab itu saya yakin Fattah bukan orang yang sebegitu (curang).

“Orang lain pun tahu perangai Fattah macam mana. Dia memang budak baik,” jelasnya.

Sebelum ini, Pekin mengundang perhatian dan respons ramai apabila tampil bersuarq mengenai keperibadiaan Fattah yakin sahabatnya itu tidak curang dengan mana-mana wanita.

Selain Pekin, Fattah turut meraih sokongan selebriti lain seperti Keena Mentor, Lim Mei Fen dan Lana Nodin.

Terdahulu, selepas sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 7 Oktober lalu, Fazura mendakwa dia nekad minta dilepaskan kerana Fattah berlaku curang dan tidak memberi nafkah kepadanya.

Malah, aktres itu turut mendakwa dia mempunyai bukti kecurangan dilakukan Fattah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok