MESKI kes mahkamah belum selesai, pelakon Hafidz Roshdi menzahirkan rasa syukur kerana masih ada pihak yang sudi mengambilnya bekerja.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, berkata, dia bakal terlibat dengan beberapa kegiatan belakang tabir.
Alhamdulillah. Kehidupan saya berada dalam keadaan baik. Saya ada dapat tawaran kerja seni tetapi hanya terlibat di belakang tabir sahaja.
“Saya belum boleh berkongsi perkara ini secara terperinci, tunggu masa sesuai untuk saya jelaskan nanti,” katanya.
Hafidz yang hadir ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini turut memaklumkan tidak menolak untuk kembali beraksi di hadapan kamera sekiranya ada tawaran bersesuaian.
Insya-Allah, cuma tawaran berlakon belum ada lagi sekarang. Kalau ada, saya mahu berlakon lagi,” katanya.
Hafidz hari ini hadir ke mahkamah bagi sebutan kes pukul melibatkan dirinya dengan bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Majistret Nurul Izzah Hassan Basri menetapkan perbicaraan kes berkenaan pada 20 Januari 2025.
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya iaitu Eirene Nabila Amani Williams Hunt memberitahu perbicaraan kes tersebut diteruskan selepas permohonan representasi dibuat tertuduh kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) ditolak.
Susulan itu, peguam Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berharap Shuhada sebagai pengadu akan hadir ke perbicaraan itu nanti agar kes dapat diselesaikan dengan segera.
Shuhada sebelum ini telah menarik semula laporan polis pada 6 Julai lalu secara sukarela dan tanpa paksaan mana-mana pihak.
Bekas isteri Hafidz itu bersama dua anak mereka iaitu Umar,4, dan Humairah, 7, berhijrah ke Melbourne, Australia sejak pertengahan Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk Shuhada sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.22 pagi pada 2 Mac 2023.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu pada Julai tahun lalu. – HIBGLAM