‘Pergilah segala sengsara, saya mahu tenang’

PELUANG mengadakan konsert mini atau showcase pada akhir bulan lalu membuka peluang buat si tampan berdarah Tionghoa, Alvn membuktikan keseriusannya menerokai dunia nyanyian.

Lebih kenali sebagai pelakon, Alvn tidak pernah lelah mahu menyakinkan peminat bahawa dia juga berbakat sebagai penyanyi.

Buktinya, dia kini muncul dengan album sulung bertajuk Between The Lines yang tidak sekadar sebuah bukti keberadaannya dalam industri.

Album berkenaan juga merakam segala duka lara dan kekecewaannya dalam kehidupan.

“Sebelum pandemik Covid-19 dahulu saya memang sudah mempunyai perancangan untuk mengadakan persembahan.

“Namun, disebabkan terikat dengan beberapa kerja dan penggambaran, hasrat itu terpaksa dipendam,” katanya yang kini bernaung bawah payung Universal Music Malaysia.

ALBUM Between The Lines bukti kesungguhan Alvn mencipta nama sebagai penyanyi. 

Kegembiraan jelas terpancar di wajah, Alvn bagaimanapun mengakui sedikit terkilan apabila sistem bunyi ketika membuat persembahan di ROM8 Studio, Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini tidak berjalan seperti diharapkan.

“Tidak mengapa kerana bukan semua apa yang kita rancang akan berjalan seperti diharapkan. Memang agak terkilan kerana saya yakin boleh buat lebih baik,” katanya yang membuat persembahan di hadapan hampir 100 pengunjung.

Penjenamaan

Bersungguh-sungguh mengejar cita-cita dalam dunia nyanyian, pemilik nama lengkap Alvin Chong Chean Wah itu juga punya alasan kuat berhubung nama pentasnya, Alvin Chong yang kini ditukar menjadi Alvn sebagai langkah penjenamaan kerjaya.

Bukan kerana tidak menggemari penggunaan nama Alvin Chong, sebaliknya dia lebih selesa untuk dikenali sebagai Alvn sahaja.

“Saya lebih senang kalau orang panggil nama ringkas, rasa lebih lembut dan mesra. Apabila menyebut nama penuh seperti Alvin Chong, saya rasa seperti orang itu hendak marah atau tidak puas hati,” jelasnya.

ALVIN Chong kini hanya mahu dikenali sebagai Alvn yang dirasakan lebih santai dan dekat dengan peminat

Sedar penjenamaan memakan masa, Alvn tidak melihat perkara tersebut sebagai halangan.

“Saya faham sebelum ini orang sudah terbiasa dengan nama Alvin Chong, jadi mungkin akan mengambil masa sedikit,” katanya yang sudah lebih setahun dikenali sebagai Alvn.

Diminta memilih sama ada nyanyian atau lakonan, Alvn mengakui keinginan menjadi penyanyi lebih kuat.

“Kalau diberi pilihan, saya pilih menjadi menyanyi kerana muzik dapat membantu mengembangkan bakat seni.

“Bukan kata lakonan itu tidak. Lakonan juga boleh menyerlahkan kesenian dalam diri, cuma perlu ambil masa panjang dan bergantung kepada pasukan (tenaga kerja produksi) di set.

“Saya hendak jadi penyanyi kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan peminat. Apabila beraksi di pentas, saya boleh melihat reaksi mereka. suka atau tidak,” ujarnya

BERNAUNG di bawah Universal Music Malaysia, Alvn berharap kerjaya muziknya akan terus berkembang.

Peralihan fokus yang dilakukan pasti tidak memuaskan hati semua orang. Akur, Alvn tidak makan hati apatah lagi membiarkan dirinya ‘dipijak’ golongan sebegitu.

Baginya, khalayak yang sibuk mencanangkan kesalahan orang lain hanya mahu memuaskan hasad dengki yang menguasai diri.

“Pengkritik itu mungkin rasa seronok sebab dapat kritik orang lain.

“Mungkin mereka melihat artis hidup popular, senang buat itu ini (banyak duit), jadi mereka fikir apa kata kritik saja untuk meluahkan kemarahan. Rasa iri membuatkan mereka asyik cari kesalahan orang lain.

“Bagi saya, golongan sedang melalui fasa yang teruk dalam hidup akan cenderung melakukan perbuatan buli menggunakan kata-kata kesat.

“Mereka seperti ‘terlupa’ kata-kata kesat akan meninggalkan kesan kepada mangsa sehingga menjejaskan kehidupan,” terangnya.

Akui Alvn, dia sendiri pernah terkesan dengan kritikan, terutama dalam media sosial. Perbuatan itu bukan sahaja dapat menyekat usaha keras tetapi turut mematikan impian seseorang.

Selain fokus terhadap penjagaan emosi, Alvn turut meluahkan hasrat untuk melakukan perkara yang menggembirakan dirinya.

BAGI Alvn, menggembara ke luar negara memberikan lebih kedamaian dan inspirasi untuk berkarya dan menulis lagu.

Menginjak usia 33 tahun, Alvn enggan membiarkan dirinya terbeban dengan tekanan atau stres.

“Saya ingin bekerja dalam keadaan tenang. Saya nak buat perkara yang tidak terlalu memberi tekanan dan boleh menggembirakan saya. Hari-hari hidup sengsara kerana fikirkan permintaan pihak atasan amat menyakitkan.

“Dalam tempoh setahun dua ini, tidak dinafikan kerjaya lakonan kurang menonjol kerana saya banyak menghabiskan masa di luar negara.

“Menggembara ke luar negara menginspirasikan saya untuk menghasilkan lagu.

“Lebih menarik, saya dapat bertemu dengan mereka yang dapat memberi ilham dalam berkarya,” jelasnya.

Tambahnya, ideologi berbeza antara pengkarya tempatan dan luar negara membuatkan dirinya senang bekerja dengan pemuzik luar.

Bukan sebagai perbandingan tetapi Alvn mengakui dapat merasakan tekanan saat menghasilkan lagu di negara sendiri kerana memikirkan sambutan peminat .

“Di sini, kita buat lagu untuk pastikan lagu itu menjadi (popular) dan bagus. Tetapi, di luar negara, mereka menghasilkan lagu tanpa peduli sama ada ingin popular atau tidak.

“Jika lagu dihasilkan itu tidak sesuai, boleh terus cuba lagi dan terus mencuba. Kalau tidak menyanyikan sendiri, boleh dijual kepada penyanyi lain. Di sini saya rasa ada tekanan, sebab kalau tidak cukup bagus mereka akan terus kata saya tidak cukup bagus,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok