DEMI kebaikan anak-anak, pelakon Emma Maembong berharap orang ramai tidak mencetuskan sebarang spekulasi berkaitan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
Bahkan pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 32, itu mengakui menjaga hubungan baik dengan bapa kepada anaknya.
“Kami berharap semua pihak tidak memanjangkan kisah perceraian ini dan tidak mereka-reka cerita tidak benar memandangkan hubungan kami baik-baik sahaja.
Apatah lagi, kesihatan mental anak-anak adalah keutamaan kami sebagai ibu bapa.
“Bercerai tidak semestinya perlu bermusuh dan bukanlah penamat segalanya,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam masa sama, Emma berharap orang ramai jangan masuk campur urusan keluarganya agar dia dan bekas suami dapat fokus membesarkan dua putera mereka.
“Ajal, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT.
Kita hanya mampu merancang tetapi Dia sebaik-baik perancang.
“Sekali lagi, kami berdua memohon diberikan ruang peribadi untuk kami membesarkan dua putera kami dengan sihat,” jelasnya.
Kongsi pelakon drama Takdir Itu Milik Aku itu lagi, pada awalnya dia dan Shazli tidak berhasrat untuk mengumumkan perceraiannya tetapi terpaksa berterus terang bagi mengelak fitnah.
“Malangnya, jodoh kami buat masa ini sampai di sini sahaja.
Jika diikutkan, kami tidak mahu mengumumkan mengenai perceraian ini kerana enggan memanjangkan isu.
“Namun, bagi mengelakkan sebarang fitnah, kami sama-sama bersetuju untuk memaklumkan perceraian ini,” ujarnya.
Semalam, berita mengenai perceraian Emma dan Shazli tersebar dalam media sosial.
Emma turut memaklumkan sudah tamat tempoh idah selain mengambil pendekatan untuk tidak menghebohkan berita perceraian bagi mengelakkan situasi menjadi keruh.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 3 dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia setahun. – HIBGLAM