‘Yakin aturan Allah, terima apa yang bukan ditakdirkan untuk anda’

KETIKA ramai menanti penuh debaran kesudahan status rumah tangga dengan suaminya, Fattah Amin hari ini, pelakon Nur Fazura terus mengundang perhatian apabila memuat naik petikan tentang keyakinan terhadap setiap perkara yang berlaku.

“Sentiasa yakin dengan perancangan Allah SWT.

“Sentiasa meletakkan sepenuh kebergantungan, harapan dan tawakal pada aturan Allah. Anda mungkin tidak melihatnya sekarang, tetapi ketahuilah bahawa Dia sedang membawa anda ke satu kebahagiaan yang lebih besar, insya-Allah,” katanya.

Bukan sahaja tentang aturan Tuhan, bintang drama Hero Seorang Cinderella itu turut memuat naik petikan mengenai menerima segala perkara yang berlaku dalam hidup meskipun bukan seperti yang diinginkan.

“Anda perlu menerima apa sahaja yang bukan ditakdirkan untukmu, sama seperti anda menerima apa yang ada,” ujarnya.

Hari ini, status rumah tangga Fattah dan Fazura akan menjadi tumpuan utama apabila prosiding tuntutan perceraian aktres itu terhadap suamminya yang memasuki episod kedua dijangka berlangsung pukul 9.00 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Sebelum ini, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, belum bersedia menceraikan isterinya itu ketika prosiding pertama pada 25 September lalu.

Dalam prosiding sama, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pula nekad mahu berpisah demi maruahnya sebagai wamita serta kesejahteraan hidup anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya.

Terdahulu, pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan  seorang cahaya mata, Nur Fatima yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok