Busuknya kentut Will Smith, penggambaran filem dihentikan 3 jam

GARA-GARA pelakon dan penyanyi rap Will Smith terkentut ketika menjayakan satu babak, set penggambaran filem Man In Black dikosongkan selama tiga jam.

Insiden 27 tahun lalu itu didedahkan pengarah filem tersebut, Berry Sonnenfeld yang memaklumkan adegan tersebut dilakukan bersama aktor Tommy Lee Jones dalam kereta berkunci rapat.

Katanya, menerusi babak itu Smith dan Jones kononnya akan melalui pengembaraan masa dengan kadar kelajuan tinggi dalam pod.

Memang pod (kereta) tersebut dikunci bagi mengelakkan terbuka atau jatuh. Ketika saya sebut ‘roll camera’ tiba-tiba dengar suara Will Smith cakap ‘Tuhanku, minta maaf Tommy’.

“Baz (kru) tolong ambil tangga dan selepas itu saya dengar Tommy berkata ‘tak mengapa Smith, jangan risau. Saya pun tak tahu apa yang jadi’.

Selain Jones ramai berada dalam pod tersebut termasuk saya. Jones keluar dahulu memanjat tangga tersebut. Apa yang terjadi adalah Smith terkentut!” kongsi Sonnenfeld ketika ditemu bual dalam program Let’s Talk Off Camera With Kelly Ripa.

Berikutan bau yang terlalu busuk, semua pelakon dan kru penggambaran terpaksa keluar dari kenderaan itu melalui bumbung kerana pintu tidak boleh dibuka.

Susulan kejadian tersebut, Sonnenfeld berkata, ramai pelakon enggan duduk bersebelahan Smith kerana tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.

Begitupun Sonnenfeld menegaskan dia tidak serik bekerjasama dengan Smith walaupun selepas kejadian itu tiada siapa berani berada dalam ruang sempit dengan aktor terbabit.

Menurut seorang pakar perubatan dari Los Angeles, Amerika Syarikat, Dr. Shilpa Sayana, situasi dilalui Smith berkemungkinan disebabkan kesan bakteria terkumpul akibat diet sehingga mengakibatkan gas busuk meletus.

Menerusi filem aksi sains fiksyen pecah panggung itu Smith membawa watak Ejen J, manakala Jones sebagai Ejen K. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok