[VIDEO] ‘Tak rancang pakai sedondon dengan Bella, kebetulan sahaja’

PAKAIAN sama (warna) semua itu hanya secara kebetulan.”

Itu kata pelakon Muaz Zabir sekali gus menafikan dakwaan kerap muncul berpakaian sedondon dengan Bella Astillah dalam beberapa acara hiburan adalah perkara yang sudah dirancang bersama.

Menurut Muaz atau nama penuhnya Muaz Mohamad Zabir, 27, dia tidak pernah berbincang dengan Bella untuk menggayakan pakaian warna sama sebelum ini.

“Percayalah cakap saya, memang tak rancang apatah lagi saling berhubung untuk pastikan baju sedondon.

Cuma semuanya berlaku tanpa sengaja, tambahan pula saya memang suka pakai baju berwarna putih.

“Kalau tengok setiap acara sebelum ini, memang saya selalu pakai baju putih,” katanya kepada HibGlam pada majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ( ABP) ke-36, semalam.

Mengulas mengenai kemunculannya di Konsert Jiwa Malaysia 2024 baru-baru ini yang turut menampilkan Bella sebagai salah seorang artis membuat persembahan, Muaz berkata hanya hadir untuk memberi sokongan kepada rakan artis yang terlibat.

“Mengenai kehadiran di Konsert Jiwa Malaysia 2024 baru-baru ini, ada sebab saya berada di situ.

Saya rasa saya ada hak untuk sokong artis-artis yang buat persembahan. Ada juga saya berikan sokongan kepada artis lain untuk persembahan teater dan sebagainya.

“Jadi, kalau ada masa terluang, memang saya akan hadir beri sokongan kepada artis lain, apa salahnya?” ujarnya.

Dalam pada itu, Muaz menegaskan tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk berusaha menambat hati Bella meskipun tempoh idah sudah berakhir.

Saya tak pernah anggap situasi Bella yang sudah tamat tempoh idah sebagai peluang untuk berebut atau sebaliknya. Tidak berlaku sama sekali.

“Kami memang berkawan dan akan ada projek bersama kelak. Jadi, tak perlu nak bermasam muka, teruskan kehidupan masing-masing dan lakukan yang terbaik,” jelasnya.

Menerusi ABP36, Muaz tersenarai dalam dua kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Popular dan Artis Baharu Lelaki Popular.

Sebelum ini, menerusi temu bual bersama Kosmo!, Muaz tidak menolak sekiranya berjodoh dengan Bella dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

Terdahulu, namanya meledak apabila didakwa menjalin hubungan cinta dengan Bella ketika aktres itu masih bergelar isteri Aliff sekitar Oktober tahun lalu. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok