PELAKON Emma Maembong mendedahkan hidup dalam ketakutan selama empat tahun akibat gangguan mistik dipercayai perbuatan sihir seorang peminat yang obses terhadap dirinya.
Kongsi Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 32, gangguan mula dirasai selepas membaca satu mantera yang dihantar menerusi perkongsian sekeping gambar bersama seorang lelaki dipercayai peminatnya dalam Instagram.
Dalam satu majlis bersama peminat, dia minta untuk bergambar dengan saya, mahu bergambar penuh.
“Kemudian, satu hari saya melihat dia muat naik gambar dan menandai (tagged) saya dalam Instagram dengan kapsyen panjang lebar.
Rupa-rupanya saya terbaca mantera yang dihantar kepada saya. Saya tidak ingat apa jadi ketika itu tetapi dikatakan saya mula mengilai dan menjerit serta muka saya basah (berpeluh-peluh),” katanya dalam temu bual sebuah sesi audio siar (podcast).
Pelakon drama Takdir Itu Milik Aku itu mendedahkan banyak kejadian aneh berlaku dalam hidupnya sepanjang tempoh empat tahun bahkan lelaki terbabit berani menghampirinya dalam sebuah majlis lain.
“Inilah yang paling teruk dan banyak mengubah kehidupan saya dalam tempoh empat tahun. Pada satu majlis kahwin, saya nampak lelaki itu hadir.
Saya jadi takut dan paranoid. Ahli kelab peminat saya kepung dia dan tidak membenarkan dia masuk.
“Dia ‘selfie’ gambar dan buat hantaran beritahu tunggu satu hari saya akan datang melutut (kepadanya),” kongsi ibu anak dua itu lagi.
Dalam masa sama, kenalan rapat Emma juga mula nampak perubahan pelakon itu dan menjangka dia sudah terkena perbuatan sihir.
“Sejak hari itu, saya tidak henti kena buatan orang yang sangat teruk.
Saya senyum dalam sesi fotografi tetapi gambar saya nampak seperti senyum terbalik,” tuturnya.
Mengakui masih lagi diganggu hingga ke hari ini, Emma hanya percaya dengan ketentuan Tuhan selain lebih berhati-hati apabila berjumpa orang tidak dikenali.
“Saya hanya takut Allah, beranikan diri. Dahulu saya layan sakit ini tetapi sekarang lebih kuat dengan solat dan mengaji.
“Saya ada Allah jadi kenapa nak kena mengalah sebab itu saya lebih berhati-hati seperti tidak bersalaman dengan orang sesuka hati,” katanya.
Begitupun, Emma tidak mendedahkan sama ada sudah berubat atau mendapatkan rawatan ‘membuang’ sihir berkenaan. – HIBGLAM