4 selebriti ‘kepit’ pengurus macam emas

BERGELAR selebriti popular dengan deretan tawaran kiri dan kanan sudah pastinya menuntut seseorang artis untuk mendapatkan khidmat pengurus atau pembantu peribadi.

Bagi mengukuhkan lagi industri hiburan agar berkembang dengan baik, seseorang selebriti perlu mempunyai pengurusan karier yang baik.

Tugas pengurus meliputi pengurusan berkaitan hal peribadi artis dan kebiasannya mereka sangat rapat antara satu sama lain.

Mereka juga bertindak untuk memberi nasihat, merancang kerjaya, menyusun jadual kerja dan membantu melancarkan kerja artis jagaannya.

Perkara sama juga menjadi sifir buat selebriti di lain-lain negara termasuk Korea Selatan. Bukan setakat selebriti yang mendapat perhatian media, pengurus artis juga kadangkala turut sama merasa tempias daripada aura majikannya.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang sangat rapat dengan pengurus dan menganggapnya seperti kawan rapat selain menghargai mereka dengan pelbagai apresiasi.

IU

Siapa sahaja tidak mengenali si cantik bernama IU. Dalam kalangan bintang K-pop, IU terkenal dengan personaliti penyayang, bukan sahaja dengan peminat tetapi juga kepada orang di sekelilingnya, termasuk kakitangan terutama pengurusnya.

Idola berusia 31 tahun itu mengakui sangat rapat dengan pengurusnya dan kakitangan lain bahkan melayan mereka bukan sahaja seperti rakan sekerja bahkan persis keluarga.

Menurut sebuah laporan, hubungan pelantun lagu Love Wins All itu sangat rapat dengan pengurusnya iaitu Bae Jong-han sehingga enggan diuruskan sesiapa selain lelaki terbabit.

Lebih mengejutkan apabila IU yang sebelum ini bernaung bawah agensi Kakao M sanggup berpindah ke agensi yang baru ditubuhkan pengurusnya itu iaitu EDAM Entertainment malah turut membawa seluruh pasukannya.

Keputusan itu cukup kuat membuktikan kebergantungan mereka antara satu sama lain dan betapa sayangnya IU kepada pengurusnya itu.

Taemin

Barangkali bagi penggemar anggota kumpulan SHINee, Taemin, mereka sudah maklum bahawa hubungan jejaka tampan itu dengan pengurusnya, Nam Eui-soo sudah seperti adik beradik.

Hubungan mereka sebagai artis dan pengurus sudah mencecah usia sedekad malah disifatkan peminat sebagai adik-beradik yang terpisah dan ditakdirkan untuk bersatu dalam dunia seni.

Lebih mencuit hati apabila idola berusia 31 tahun itu sebelum ini mendedahkan dirinya telah dikhianati gara-gara pengurusnya itu sedang dilamun cinta tanpa memaklumkan kepadanya.

Pelantun lagu Guilty itu secara berjenaka berkata sahabat baiknya seperti dirampas orang ketiga tanpa pengetahuannya. Malangnya hubungan Eui-soo dengan teman wanitanya terkandas di tengah jalan.

Taemin yang melihat pengurusnya sedang patah hati hadir memberi sokongan bahkan membawanya bercuti.

Kim Chung-ha

Apabila penyanyi Kim Chung-ha dan pengurusnya Ryu Jin-ah muncul dalam ‘variety show’ The Manager, hubungan mereka mendapat pujian ramai dan hubungan mereka disifatkan peminat seperti adik-beradik yang bergaduh tetapi pada sama sama saling menyayangi.
Keakraban mereka mula mendapat perhatian ramai apabila penyanyi berusia 28 tahun itu memenangi anugerah pertama sebagai artis solo dan meminta pengurusnya naik ke atas pentas untuk meraikan kejayaan itu bersamanya.

Sejak itu, Chung-ha dan pengurusnya menjadi kegemaran ramai dan sering mendapat permintaan tinggi untuk muncul dalam rancangan temu bual bersama.

Bukan itu sahaja, ramai peminat memberi julukan kepada mereka sebagai artis dan pengurus paling serasi bersama

Song Joong-ki

Aktor tampan Song Joong-ki juga tidak terkecuali dalam senarai Kimchi Panas minggu ini. Mana tidaknya, hubungan rapat dengan pengurusnya, Kim Jung Yong memang sudah diketahui khalayak.

Pengurus aktor berusia 38 tahun itu kekal setia bersusah senang dengannya sejak awal penampilan sulung Joong-ki sekitar tahun 2008.

Kim Jung-yong juga kekal bersama pelakon drama Descendant of The Sun itu sebagai satu pasukan meskipun ketika itu aktor terbabit berpindah daripada agensi SidusHQ ke Blossom Entertainment.

Melihatkan kerja keras pengurusnya itu, Joong-ki menghadiahkannya sebuah kereta berjenama mewah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok