Kasihan ‘follower’ kalau saya jadi pelakon – Khairul Aming

BERKONGSI kemahiran memasak dalam media sosial telah melonjakkan nama pempengaruh Khairul Aming sehingga layak menjulang trofi Creator of the Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023.

Populariti yang dikecapi jejaka berusia 32 tahun itu turut membuatkan produk sambal miliknya laris bak pisang goreng panas. Bahkah bahan yang digunakan dalam video masakannya juga laris di pasaran.

Itulah penangan pengaruh Khairul Aming yang secara tidak langsung membantu meningkatkan keuntungan peniaga lain.

Aura yang dimilikinya turut menarik perhatian ramai wanita yang berharap dapat menjadi suri hatinya.
Berikut perkongsian Khairul Aming mengenai perancangan masa depan karier dan calon isterinya.

KOSMO!: Bagaimana reaksi anda apabila tidak tersenarai sebagai colon Anugerah TikTok Malaysia 2024 kerana menggalas tanggungjawab sebagai juri?

KHAIRUL AMING: Pada saya itu (tanggungjawab sebagai juri) satu penghormatan setelah sekian lama berada dalam industri pereka kandungan digital. Memang benar apabila menjadi juri, saya perlu melepaskan peluang untuk tercalon sebagai pemenang.
Saya sudah bersedia untuk melepaskan peluang itu dan memberikannya kepada penerima lain. Bagi saya, anugerah tersebut boleh menjadi platform terbaik mereka mengembangkan nama sebagai pereka kandungan digital.

Tanggungjawab pereka kandungan digital di mata anda?

Setiap apa yang kita kongsikan itu biarlah bermanfaat kepada masyarakat. Semua orang boleh menyediakan kandungan digital tetapi untuk menghasilkan konten berkualiti tidak ramai boleh buat.

Paling utama ikhlas dan berusaha mencipta konten yang berilmu dan boleh dijadikan rujukan generasi akan datang. Biar orang nampak kandungan itu berguna buat mereka.

KHAIRUL Aming merupakan pempengaruh yang sarat nilai positif dan dilihat sebagai figura yang bijak.

Selain rancak menghasilkan konten, tidakkah anda berminat menceburi bidang lain seperti lakonan?

Terus-terang ada tawaran berlakon bahkan saya pernah ditawarkan menjadi pengacara Anugerah TikTok Malaysia 2024 tetapi menolaknya kerana tidak bersedia.

Ikutkan memang banyak terima tawaran berlakon tetapi saya tolak sebab tidak pandai dan tidak minat berlakon. Jika iklan mungkin boleh kerana tidak banyak dialog dan ekspresi wajah.

Biarlah saya fokus mengukuhkan karier sebagai pereka kandungan kerana apa yang saya kecapi sekarang bermula dengan itu.

Jika saya berlakon, kasihan pula mereka yang selama ini menyokong saya di platform digital. Saya tidak akan sesekali meninggalkan mereka hanya kerana ingin bergelar pelakon.

Bidang pengacaraan pula, banyak tawaran mahu saya mengendalikan program masakan. Bahkan ada juga yang tawarkan saya mengacarakan sebuah program masakan untuk Ramadan tahun depan.

Menjadi figura berpengaruh dalam platform digital, pastinya tidak dapat lari daripada dikecam. Boleh anda kongsi?

Sudah tentu ada kerana bukan semua orang suka kita.

Walaupun sudah bertahun-tahun jadi pempengaruh, saya masih dikritik sehingga ke hari ini. Boleh dikatakan setiap resipi yang saya kongsi ada sahaja yang tidak kena di mata segelintir pihak.

Saya buat perkara yang satu Malaysia boleh tengok, mustahil semua akan suka dengan apa saya lakukan.
Apa-apa pun saya hanya berlapang dada, tak ambil hati pun dengan kata-kata orang.

Setelah hampir sedekad jadi pereka kandungan masakan, apa perancangan anda untuk masa depan?

Saya sudah ada beberapa perancangan. Kalau boleh saya mahu buat perkara di luar kebiasaan (video masakan), misalnya video kembara di luar negara.

Mungkin video masak hanya untuk bulan Ramadan sahaja. Biar kandungan itu lebih eksklusif kerana saya tidak mahu perah otak (mencari idea) buat benda sama. Nanti saya sendiri yang bosan, asyik buat benda sama sahaja.

Dengar kata ramai wanita hantar ‘resume’ untuk jadi calon isteri. Umur anda pun sudah mencecah 32 tahun, takkan tak teringin untuk berumah tangga?

Hampir setiap hari saya terima ratusan e-mel resume yang menyatakan hasrat mahu jadi suri hidup saya.
Ada juga yang mesej dalam media sosial.

Saya sangat hargai usaha dan keberanian mereka tetapi buat masa ini saya tidak cukup masa untuk menjalin hubungan dengan mana-mana wanita.

Ada dua kilang dan 100 kakitangan yang memerlukan perhatian saya. Itulah prioriti saya sekarang.

Soal jodoh saya serahkan kepada Allah. Bukan kerana saya mahu ikut jejak langkah ayah menamatkan zaman bujang pada usia agak lewat iaitu 38 tahun tetapi macam saya cakap tadi, biarlah Allah yang tentukan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok