5 MV K-pop kena ‘palau’ di negara sendiri

TIDAK dinafikan industri hiburan Korea Selatan lebih ke hadapan berbanding negara serantau, sehingga mampu meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Karya mereka sememangnya mendapat tempat dalam kalangan penggemar muzik dunia apabila mampu menarik jutaan tontonan atau pendengar lebih-lebih lagi menerusi penghasilan video muzik. 

Namun, semua itu tidak mudah. Ada sahaja video muzik diharamkan daripada disiarkan dalam rangkaian televisyen gergasi seperti Korean Broadcasting System (KBS), Seoul Broadcasting System (SBS) dan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) andai terselit elemen yang membawa pengaruh negatif. 

Daebak menyenaraikan lima video muzik yang haram disiarkan di Korea Selatan, namun meraih rekod cemerlang di platform lain.

 

  • Catallena – Orange Caramel

BERKONSEPKAN disko dan menginspirasikan nuangsa Bollywood, kumpulan Orange Caramel cukup bangga saat melancarkan lagu berjudul Catallena. Dalam video muzik lagu tersebut memaparkan trio itu menjadi duyung sebelum menjadi sushi dan dibalut dalam bungkusan plastik dengan tanda harga 4,000 won (RM14) setiap satu. 

Idea lucu dan pelik tersebut dikatakan tidak sesuai untuk siaran KBS TV.

  • Gentleman – PSY 

SELEPAS setahun meletup dengan single fenomena Gangnam Style, PSY muncul dengan Gentleman. Biarpun mencatatkan rekod jumlah tontonan tertinggi dalam YouTube pada 2013 tetapi  video muzik (MV) berkenaan tidak lepas masuk KBS TV disebabkan aksi PSY menendang kon pembahagi jalan pada awal video yang dianggap sebagai perbuatan negatif merosakkan harta benda awam. 

  • Instagram – Dean

LAGU Instagram nyanyian Dean iaitu seorang artis indie R&B menakluk carta Korea Selatan dalam masa dua hari selepas dilancarkan. 

Dia dipuji kebolehan mengangkat isu hubungan belia yang tidak sihat dalam media sosial.

Malang buat Dean apabila saluran KBS TV tetap mengharamkan video muziknya kerana lagu berkenaan dikatakan mengangkat nama jenama Instagram. 

  • Kill This Love – Blackpink 

KETIKA awal kemunculan, kumpulan Blackpink mendominasi beberapa carta tertinggi dunia Kill This Love.

Namun, di negara sendiri KBS TV mengharamkan video muzik tersebut daripada disiarkan. Isu keselamatan dibangkitkan apabila ada terpapar aksi seorang ahli, Rose memandu kereta tanpa memakai tali pinggang keledar.  Biar dianggap remeh, tindakan Rose tetap satu kesalahan dan telah melanggar Akta Lalu Lintas Jalan Raya Korea Selatan. 

  • Deaming I – F.CUZ

BEBERAPA jam sebelum tayangan perdana yang dijadualkan disiarkan televisyen tempatan, video muzik Dreaming I nyanyian kumpulan F.CUZ dilarang daripada dikongsi kepada umum.

Video muzik tersebut menunjukkan latar sebuah sekolah dengan kehadiran kumpulan itu yang digambarkan sebagai ‘bad boy’ di sekolah. Menurut KBS TV, video berkenaan mempunyai pengaruh negatif terhadap remaja lebih-lebih lagi yang masih di alam persekolahan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok