BERKARAKTER lincah dan ‘easy going’ membuatkan pelakon berdarah campuran, Nina Smith mudah didekati sesiapa sahaja, baik rakan artis mahupun peminat.
Namun keterbukaan pemilik nama sebenar Amalina Smith, 24, bukan petanda dirinya senang dibeli dengan wang ringgit mahupun limpahan kemewahan.
“Kalau tak kuat iman memang kita mudah terjebak dengan godaan luar yang menawarkan kemewahan segera, tetapi mungkin saya nampak tegas, tiada yang berani dekat.
“Pucuk pangkal adalah niat kita masuk industri ini, mahu cepat kaya tanpa memikirkan halal haram atau berusaha dengan hasil rezeki daripada keringat sendiri.
“Saya yakin bukan golongan artis sahaja berdepan ujian sebegini, bidang pekerjaan lain juga ada cabaran tersendiri,” katanya.
Lebih selesa hidup bersederhana, aktres tinggi lampai itu juga tidak mengejar sensasi atau populariti dengan hanya menunggu tawaran sebagai teraju utama sesebuah drama.
Bahkan dalam tempoh hampir enam tahun sebagai pelakon, dia rela menggalas watak sampingan, namun besar impak terhadap sesebuah naskhah.
“Memang saya belum puas dengan pencapaian saya dan tidak bermakna saya enggan membawakan peranan kecil kerana bagi saya heroin atau pelakon sampingan tetap punya tanggungjawab besar.
“Saya yakin masanya akan tiba jua sama ada cepat atau lambat. Kita sendiri kena berusaha serta tonjolkan bakat. Jangan segan menghadiri sesi uji bakat.
“Memang pasti ada suara sinis yang cuba menggugat semangat. Abaikan kerana kita tahu kemampuan kita.
“Saya bersyukur dilingkungi ramai individu positif,” katanya kepada Pose.
Akui pelakon yang menceburi arena lakonan selepas menyertai Festival Drama Kuala Lumpur (DFKL) 2018, cabaran sebagai anak seni juga yang terlalu besar didepani dengan berlapang dada.
Kekasih pelindung
Hanya nawaitu untuk mencari rezeki halal selain pegangan yang menguatkan semangatnya agar tidak mudah gelap mata atau cepat mengalah.
Tekad yang ditanam sebaik menceburi bidang hiburan menguatkan kecekalannya menepis segala ujian.
Bahkan, secara terbuka Nina juga mengakui sudah punya kekasih hati yang sentiasa mengingatkannya sentiasa menjaga diri.
“Saya cuma boleh katakan hati saya sudah dimiliki lelaki budiman yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan paling utama bukan suami orang.
“Si dia bukan dalam kalangan artis atau penggiat seni sebab memang saya elak intim dengan rakan seperjuangan.
“Cukuplah kalau saya katakan kekasih saya ini menjadi pelindung dan penasihat tidak rasmi terutama ketika saya di dalam gundah,” ujarnya mengenai cinta yang sudah terjalin setahun itu.
Makin matang
Katanya lagi, sepanjang tempoh memperjuangkan bakat, cukup banyak pengalaman yang mengajarnya sepak terajang serta permainan dunia hiburan.
Bagi wanita yang bijak berbicara itu, peristiwa lalu termasuk dikatakan mencetuskan masalah di lokasi penggambaran tahun lalu seperti didakwa aktres senior, Fauziah Ahmad Daud yang juga gurunya hanya didiamkan.
“Saya nak hidup aman, jadi apabila dikaitkan dengan apa-apa kontroversi, saya lebih suka ambil sikap bertenang, enggan mengeruhkan keadaan.
“Saya hormati semua orang. Berdiam adakalanya lebih baik apatah lagi saya sukakan kerjaya ini selain mahu terus bekerja dalam industri.
“Saya punya misi besar. Kalau diberikan rezeki saya ingin terbabit dalam bidang penerbitan yang juga salah satu impian saya,” ulasnya lagi.
Ratu cantik
Enggan larut dalam kisah lama, tambah pelakon yang popular menerusi drama bersiri Jesnita itu, dia kini berusaha menimba pengalaman dan menyimpan wang.
Si cantik yang turut menyertai pertandingan Dewi Remaja musim lalu itu turut menegaskan suka meneroka sesuatu yang berbeza, termasuk menimba pengalaman di pentas peragaan.
Tidak melihat penyertaannya sebagai ‘downgrade’ status dari seorang pelakon ke peserta sebuah pertandingan, bagi Nina dia ingin menonjolkan kebolehan biar tidak membawa pulang trofi.
“Cakaplah apa sahaja, saya tetap Nina yang simple dan berani berhadapan cabaran. Kalah menang adat bertanding dan memasuki pertandingan juga dapat kutip ilmu.
“Sebenarnya sebelum Dewi Remaja, saya pernah cuba sertai Miss Universe Malaysia dan dapat respons positif juri tetapi itu hanya sekadar ‘test market’ sebab memang pertandingan itu tidak dibuka kepada muslim.
“Jangan risau, saya tahu apa yang boleh atau tidak, macam saya katakan saya ingin tahu maklum balas tokoh berpengalaman dalam bidang peragaan, sebab itu kemudiannya saya sertai Dewi Remaja,” ulasnya dalam nada teruja.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.