PENYANYI Datuk Aishah mengakui mendapat inspirasi mencuba nasib sebagai penyanyi selepas melihat persembahan Jay Jay ketika belajar di tingkatan empat di Sekolah St Mary.
Kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 59, peluang naik ke pentas ketika kumpulan Carefree beraksi di acara di sekolahnya merupakan kenangan terindah.
“Saya sempat naik atas pentas. Disebabkan itu, saya terinpirasi untuk menjadi penyanyi dan meminati muzik.
Kemudian kami bertemu sekali lagi dalam persembahan lain. Di situ, kami dapat tahu bahawa anak kakak arwah adalah suami kepada anak saudara saya.
“Jadi, setiap kali jumpa, arwah akan menyapa saya ‘hai sedara’. Sekarang hanya tinggal kenangan. Al-Fatihah buat arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam Instagram.
Penyanyi lagu Janji Manis Mu itu menyifatkan pemergian Allahyarham Jay Jay yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam kelmarin, sebagai satu kehilangan besar buat industri.
Katanya, sepanjang mengenali arwah atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus adalah seorang penggiat seni yang gigih dan disenangi ramai.
Terdahulu, penyanyi, pemuzik, penerbit dan komposer itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Kota Damansara berikutan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.
Mei lalu, arwah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas.
Selepas pembedahan Allahyarham diserang angin ahmar, seterusnya perlu menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Bandar Sunway pukul 11.15 pagi semalam. – HIBGLAM