[VIDEO] Mengaku ‘buat muka’, Scha Elinnea pilih diam soal tatu

TIDAK berdolak-dalih, pelakon Scha Elinnea mengakui ada melakukan pembedahan kosmetik bagi memiliki wajah yang sempurna.

Kata Scha atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 25, perubahan tersebut dibuat bagi meningkatkan keyakinan diri lebih-lebih lagi untuk beraksi di hadapan kamera.

“Tidak salah untuk kita buat benda yang buat rasa lebih baik. Sudah semestinya ada (perubahan wajah) tetapi ini tentang diri saya.

“Kalau nak menaikkan keyakinan diri, mengapa tidak. Asalkan tak kacau orang dan bila tengok cermin ‘aku rasa aku cantik hari ini’,” katanya kepada HibGlam semasa sesi fotografi drama Anak-Anak Mafia di Sri Pentas, Damansara, semalam.

Bagaimanapun, Scha enggan berkongsi mengenai tatu di badannya seperti dakwaan yang bertebaran sebelum ini kerana sedar akan kesilapan lampau.

“Bagi orang yang tanya pasal tatu di badan saya pula, saya rasa lebih baik tidak jawab. Mungkin semua orang pernah buat silap pada masa silam.

“Saya pun banyak buat silap dan cuba perbaiki diri untuk jadi lebih baik,” jelasnya.

Namun, anak jati Sungai Petani, Kedah itu tetap menerima dengan hati terbuka komen netizen selain menganggapnya sebagai teguran.

“Saya tidak boleh tutup mulut orang, sesiapa bagi positif atau negatif komen saya berterima kasih sebab kadang-kadang boleh bagi kesedaran buat saya.

“Saya tidak ambil hati pun. Mungkin orang lain punya pandangan begitu, ada orang buat baik pun tetap dipandang buruk,” ujarnya.

Sebelum ini timbul dakwaan perubahan wajah pelakon Hati Tanpa Rasa itu apabila pengikut mula menyedari perubahan wajahnya berbanding sewaktu kemunculan awal dalam industri seni.

Malah, dia juga sangat terbuka menunjukkan tatu pada beberapa bahagian badannya tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kekal ataupun jenis pelekat. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok