Pesta perkahwinan Anant Ambani telan belanja RM732 juta

BAGAI babak dalam filem Bollywood, pesta perkahwinan Anant Ambani, anak kepada Pengerusi Reliance Industries, Mukesh Ambani merangkap bilionair terkaya Asia berlangsung penuh gemilang.

Lelaki berusia 29 tahun yang juga anak bongsu daripada tiga bersaudara disatukan dengan Radhika Merchant iaitu puteri kepada taikun farmasi, Viren dan Shaila Merchant.

Dianggarkan majlis di Mumbai, India yang menjadi lokasi acara gah selama empat hari bagi meraikan pengantin bermula Jumaat lalu itu mencecah perbelanjaan antara RM620 juta hingga RM732 juta.

Selain selebriti antarabangsa, atlet bertaraf dunia, jutawan kolomegrat serta ramai lagi individu popular diundang sebagai tetamu kenamaan dalam majlis resepsi di Pusat Konvensyen Dunia Jio milik keluarga terbabit.

Antara yang hadir ialah Kim Kardashian, Khloe Kardashian, John Cena dan Nick Jonas selain ratusan bintang Bollywood termasuk Rajinikanth, Priyanka Chopra, Shah Rukh Khan, Salman Khan, Aishwarya Rai serta Alia Bhatt.

Sebagai pelengkap, penyanyi Rihanna dan Justin Bieber diterbangkan ke kota tersebut bagi menghiburkan tetamu yang turut menjadi tajuk utama berita dunia.

Dikhabarkan Rihanna menerima RM32.8 juta untuk persembahannya, manakala Bieber diberikan bayaran lebih tinggi iaitu sebanyak RM47 juta.

Bieber turut berkongsi video membawakan lagu hitnya yang dilancarkan pada tahun 2015, Love Yourself serta kolaborasi dengan DJ Khaled, berjudul I’m The One.

Antara tokoh lain adalah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, sekali gus tidak hairan lapangan terbang tentera di Jamnagar bertukar status ke lapangan terbang antarabangsa apabila banyak pesawat peribadi mendarat.

Keluarga Ambani juga tidak ketinggalan menyewa tiga jet Falcon-2000 bagi menerbangkan tetamu ke acara itu dari seluruh pelosok dunia.

Selain majlis pernikahan serta resepsi di venue yang boleh memuatkan 16,000 orang, kediaman serba mewah setinggi 27 tingkat milik Mukesh turut dijadikan lokasi untuk pesta seterusnya.

Antilia bukan sekadar rumah biasa, bangunan tersebut dilengkapi dengan fasiliti lengkap tiga helipad,  spa, pawagam 80 kapasiti serta garaj yang boleh memuatkan 168 kenderaan.

Perayaan perkahwinan yang dibuat secara mewah dan besar-besaran selama empat hari di bandar Mumbai merupakan yang terakhir dalam rangkaian pesta mewah yang dianjurkan keluarga hartawan itu sejak Mac lalu.

Annant dan pasangannya melangsungkan hari bersejarah mereka dalam upacara tradisional Hindu di Pusat Konvensyen Dunia Jio pada Jumaat lalu, manakala pesta di Antilia pula dijadualkan esok.

Sepanjang tempoh itu, beberapa acara penting lain membabitkan upacara mengikut adat turut berlangsung dengan meriah dan gah.

Bagi melancarkan perjalanan majlis, pihak berkuasa mengadakan sekatan lalu lintas di sekitar tempat acara berlangsung sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat setempat.

Polis Mumbai mentakrifkan perkahwinan itu sebagai ‘acara umum’ kerana dihadiri beberapa tokoh kenamaan antarabangsa dan India yang memerlukan kawalan berganda.

Kegemilangan pesta yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ‘Wedding of the Year’ nyata tidak melupakan golongan kurang berkemampuan biarpun keluarga terbabit dikecam kerana menunjuk-nunjuk kemewahan ketika ramai lagi menderita.

Mukesh Ambani, 66, yang ketika ini berada dalam senarai orang ke-10 terkaya di dunia menganjurkan majlis perkahwinan besar-besaran untuk 50 pasangan yang kurang bernasib baik serta menganjurkan bhandara iaitu jamuan komuniti untuk orang ramai.

Terdahulu, pesta bermula pada Mac lalu iaitu dua bulan selepas pertunangan apabila keluarga itu mengadakan parti pra-perkahwinan selama tiga hari di negeri asal mereka di Gujarat.

Antara 1,200 tetamu yang menghadiri sambutan itu ialah selebriti antarabangsa, ahli politik dan ahli dunia perniagaan termasuk Mark Zuckerberg dari Meta dan Bill Gates dari Microsoft.

Majlis dimulakan dengan persembahan Rihanna pada malam pertama disusuli penyanyi Punjabi pertama yang membuat persembahan di Coachella, Diljit Dosanjh serta rapper Akon.

Pada Jun pula, keluarga Ambani menganjurkan satu lagi perayaan praperkahwinan dengan pelayaran mewah dari Itali ke Perancis.

Artis-artis antarabangsa yang memeriahkan majlis atas kapal mewah di hadapan 800 jemputan ialah Backstreet Boys, Katy Perry dan Pitbull. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok