PENGACARA terkenal Datuk Aznil Nawawi mempertahankan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dikecam netizen susulan isu pelantikan sebagai pakar Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
Aznil, 61, yang juga alumni fakulti Universiti Malaya menerusi siaran sebuah radio mengatakan, pelantikan Siti bukan sebagai profesor, ahli akademik mahupun tenaga pengajar di institusi berkenaan sebaliknya sebagai ikon dengan tujuan mempromosi tentang pembelajaran berterusan.
“Universiti Malaya ada bahagian swasta iaitu UMCced, jadi mereka bersaing dengan universiti lain. Kemampuan mereka untuk mengambil Siti adalah atas usaha untuk bersaing dengan universiti lain.
Pelantikan Siti itu sebagai ikon, bukan profesor, bukan sebagai ahli akademik, bukan sebagai tenaga pengajar. Hanya ikon yang mempromosikan tentang program pembelajaran berterusan,” katanya.
Aznil turut menegaskan agar orang ramai yang mengkritik pelantikan Siti harus sedar bahawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Muhammad Jiwa itu bukan sebagai tenaga pengajar.
Orang ramai yang mengutuk kata dia belajar tidak tinggi, kadang-kadang kita harus ingat bahawa dia tidak mengajar. Sekiranya dia mengajar mungkin tentang falsafah kehidupan, falsafah kemanusiaan kerana beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaan.
“Bagaimana Siti mampu mengubah kehidupan daripada orang biasa sehingga menjadi nombor satu negara.
Dalam industri setelah lebih 10 atau 15 tahun bekerja boleh dikira pakar kerana dia tidak membuat kerja lain selain kerja itu saja,” tambahnya.
Dalam pada itu, Aznil turut menjelaskan mengenai perbezaan pelantikan dirinya sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) tahun lalu.
Saya dilantik sebagai profesor adjung dan dibenarkan mengajar bukan kerana saya popular, tetapi pelantikan itu atas kelayakan akademik dan juga pengetahuan serta kelayakan kepakaran bergiat dalam industri lebih daripada 20 tahun,” katanya.
Terdahulu, kecoh di gelanggang media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Siti diangkat sebagai pakar di UMCced.
Menurut sekeping poster yang tular, pelantikan pelantun lagu Cindai itu adalah untuk tempoh dua tahun.
Sebilangan netizen mendakwa, Siti tidak memiliki kelayakan akademik untuk diberikan jawatan tersebut dan mereka berasakan bahawa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya sebagai institusi pendidikan ulung negara. – HIBGLAM